BB&T-PICOMS bangunkan pendidikan awal kanak-kanak | DagangNews Skip to main content

BB&T-PICOMS bangunkan pendidikan awal kanak-kanak

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mac- Baybees&Todds (BB&T) menjalin kerjasama dengan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) untuk membangunkan pelbagai pengisian dan kandungan program latihan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECE).

 

Kerjasama unik ini adalah yang pertama seumpamanya antara organisasi yang didedikasikan untuk pendidikan awal kanak-kanak. 

 

Ia akan menyaksikan BB&T menyumbang kepakaran dan pengalamannya dalam komunikasi dan pembangunan kandungan untuk menyokong PICOMS dalam Program Diploma ECE. 

 

PICOMS, sebuah institut pengajian tinggi, memberi tumpuan kepada pendidikan pelajar termasuk latihan, program penyelidikan dan aktiviti untuk meningkatkan ECE di Malaysia.

 

Picoms
MAJLIS memeterai perjanjian persefahaman oleh CEO BB&T, Zaim Izkandar Zaini dan Naib Canselor PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi wyang disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif BB&T, Prof Mohd Said Bani CM Din di Kuala Lumpur, Khamis.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BB&T, Zaim Izkandar Zaini berkata, kerjasama ini akan memberi peluang kepada BB&T berkongsi kepakaran dalam bidang komunikasi, pemasaran dan pembangunan kandungan dengan pensyarah PICOMS serta bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak. 

 

"Diharapkan ECE akan dilihat sebagai aspek perkembangan kanak-kanak yang sangat penting, dan seterusnya membuka jalan ke arah mewujudkan keusahawanan berdasarkan ECE serta mewujudkan permintaan untuk perkhidmatan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman ini diwakili Zaim Izkandar dan Naib Canselor PICOMS, Prof. Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman. 

 

Ia juga disaksikan Pengerusi Eksekutif BB&T, Prof. Mohd. Said Bani CM Din di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS.

 

Melalui kerjasama ini, PICOMS antara lain akan menyediakan pelajar dan program latihan yang relevan, kemudahan penyelidikan, program dan aktiviti yang berkaitan dengan ECE. 

 

Selain itu, ia juga memberi kelebihan dari segi perkongsian kepakaran, pembangunan produk dan pelbagai kandungan ECE untuk dibangunkan lebih lanjut oleh BB&T. 

 

PICOMS juga akan mempromosikan jenama BB&T dalam kalangan pelajarnya.

 

Sementara itu, Wan Mohd Azizi berkata, PICOMS akan menyediakan kemudahan latihan, penyelidikan, program pengajian dan aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak dan berkongsi kepakaran dalam program yang berkaitan dengan pendidikan serta bekerjasama untuk membangunkan produk.

 

"Kami juga akan menyediakan pengisian program Pendidikan Awal Kanak-kanak untuk dikongsi di platform multimedia BB&T dan juga platform syarikat sekutunya, bzBee Consult Sdn Bhd. 

 

"PICOMS juga akan membantu mempromosikan jenama BB&T dalam kalangan pelajar ECE kami serta pihak berkepentingan kami yang lain," tambahnya. - DagangNews.com