BDB cadang ceburi 3 sektor baharu lebih berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

BDB cadang ceburi 3 sektor baharu lebih berdaya tahan

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, BDB merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.13 juta. - Gambar : Facebook BDB
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept - Bina Darulaman Berhad (BDB) bercadang untuk meneroka tiga sektor baharu bagi meningkatkan lagi daya tahan dan mengekalkan keuntungan syarikat pada masa hadapan. 

 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, kumpulan mengenalpasti sektor seperti pengeluaran makanan, tenaga dan telekomunikasi kekal berdaya tahan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

 

"Oleh itu, kami akan menjalankan kajian untuk mengenal pasti dan menentukan kebolehlaksanaan untuk menjadikan sektor perniagaan ini ke dalam portfolio BDB.

 

"Pandemik yang tercetus pada 2020 dan 2021 menunjukkan bahawa perniagaan teras kami berada dalam keadaan yang cukup berisiko tinggi disebabkan oleh sekatan melalui perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli
Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli 

 

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, BDB merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.13 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM6 juta pada suku sebelumnya memandangkan negara beralih ke fasa endemik mulai 1 April.

 

Beroperasi dalam keadaan perniagaan seperti biasa, pendapatan suku kedua terus meningkat 64% kepada RM51.62 juta berbanding RM31.46 juta pada suku sebelumnya. 

 

Hasil BDB turut meningkat sebanyak 23% berbanding RM41.93 juta yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2021. 

 

Kedah merupakan negeri terakhir yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan aktiviti perniagaan disambung semula.

 

Prestasi lebih positif itu disumbangkan terutamanya menerusi segmen pembinaan jalan raya dan inisiatif daripada bahagian pembangunan hartanah yang berjaya disiapkan.

 

Bahagian kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) turut mencatatkan hasil yang lebih tinggi iaitu RM31.62 juta berbanding RM19.63 juta pada suku sebelumnya, dengan jumlah peningkatan sebanyak 61% didorong usaha berterusan yang dijalankan dalam menambahbaik keseluruhan aktiviti pembinaan.

 

Mohd Iskandar berkata, penstrukturan semula itu telah membuahkan hasil dengan BDB kembali menjana pendapatan daripada penyambungan semula operasi perniagaan seperti biasa dan juga permintaan pasaran untuk perkhidmatan yang kami tawarkan.

 

“BDB juga telah berjaya menyelaraskan semula perniagaan dan struktur operasi, melipatgandakan lagi produktiviti serta pengukuhan aset.

 

"Ini membolehkan kami menangani cabaran dan kesukaran pada 2020 dan 2021 serta bersedia untuk memaksimumkan peluang pada 2022," katanya. 

 

Beliau optimis BDB mampu meraih lebih banyak kontrak pada separuh kedua 2022 dan 2023 berdasarkan keupayaan syarikat menyiapkan projek tepat pada masanya dan mengikut peruntukkan yang diberikan.

 

"Kami juga telah melaksanakan projek yang boleh dikatakan unik dan di luar daripada perniagaan teras syarikat iaitu Langkawi Designer Premium Outlet, yang akan memberi nilai tambah kepada Bahagian Pembangunan Hartanah dan ECQ,” jelasnya.

 

BDB kini sedang melaksanakan projek-projek pembinaan dan pembangunan hartanah berskala besar seperti penyelenggaraan jalan negeri, naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang dan projek-projek pembangunan hartanah seperti Darulaman Lagenda and Aman Perdana. -DagangNews.com