BDB Land, Enfiniti Escapes jalin kerjasama bangunkan sektor ekopelancongan di Langkawi | DagangNews Skip to main content

BDB Land, Enfiniti Escapes jalin kerjasama bangunkan sektor ekopelancongan di Langkawi

Raja Shahreen Raja Othman dan Puan Sri Tiara Jacquelina bergambar bersama dokumen selepas memeterai MoU antara BDB Land dan Enfiniti Escapes di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi, Kedah pada 16 Januari 2024. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 16 Jan - BDB Land Sdn Bhd, anak syarikat Bina Darulaman Bhd (BDB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd bagi bekerjasama membangunkan sektor ekopelancongan di Langkawi.  

 

Pada majlis MoU itu, BDB Land diwakili Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman manakala Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd diwakili Presiden Enfiniti Group of Companies, Puan Sri Tiara Jacquelina.

 

Raja Shahreen berkata, kedua-dua pihak merancang untuk menjalinkan usaha sama bagi membangunkan ‘forest chalet’ atau pembangunan berkonsepkan ekopelancongan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi.

 

"Cadangan pembangunan itu adalah di kawasan seluas 4.04 hektar di Darulaman Sanctuary yang mana BDB Land akan menjalankan kajian pelan ukuran terperinci di kawasan yang akan dikenal pasti untuk dibangunkan, manakala Enfiniti Escapes akan memfokuskan konsep keseluruhan serta reka bentuk pembangunan berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak BDB Land.

 

"Bagi memastikan pembangunan tersebut sejajar dengan matlamat pemuliharaan dan kemampanan alam sekitar, BDB Land akan bekerjasama dengan FRIM Incorporated Sdn Bhd bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Enspire Ventures, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi; Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat.

 

Dalam pada itu, Raja Shahreen berkata, kerjasama itu merupakan satu lagi usaha berterusan yang akan dilaksanakan BDB menerusi BDB Land bagi mewujudkan tarikan baharu di Langkawi yang mana secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri membangunkan lagi pulau peranginan berkenaan.

 

"Dengan kerjasama terbaharu ini, diharap ia bakal melonjakkan lagi nama serta memberi nilai tambah baharu kepada Darulaman Sanctuary dan Langkawi terutamanya yang melibatkan sektor ekopelancongan kepada pelancong tempatan serta luar negara," katanya.

 

Sementara itu, Tiara Jacquelina berkata, pihaknya berpendapat kawasan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang itu dapat menjadi daya tarikan baharu yang boleh ditawarkan kepada orang ramai, sama seperti di Tiarasa Escapes, Janda Baik di Pahang, lapor Bernama.

 

"Pemerhatian saya mendapati di Langkawi masih belum ada 'forest chalet' seperti di Tiarasa Escapes, jadi ia satu peluang yang baik dan konsepnya juga adalah berlainan. Kita akan kaji untuk lihat apa jenis produk ekopelancongan yang sesuai dibina di sini," katanya. - DagangNews.com