KUALA LUMPUR 11 Mei - Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan anak syarikat miliknya, BDB Infra Sdn Bhd dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM204 juta setelah menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Kerajaan Negeri Kedah.
Projek penyelenggaraan tersebut adalah untuk tempoh 36 bulan bermula 15 Mei 2023 sehingga 14 Mei 2026, melibatkan zon 1 iaitu daerah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Yan dan Sik.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra di atas pencapaian dan rekod kerja yang baik yang telah dilaksanakan sepanjang projek-projek penyelenggaraan sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas penganugerahan ini dan ia menunjukkan bahawa kerajaan negeri yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh Kumpulan BDB dan kami akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang besar ini dengan sebaik mungkin.
“Penganugerahan projek juga dijangka akan turut memberi impak yang positif kepada pendapatan per saham syarikat untuk tempoh kewangan 2023 hingga 2026,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang lebih lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan serta pembinaan jalan raya serta kuari di utara tanah air.
Untuk rekod, BDB Infra sebelum ini pada 2020 juga telah dianugerahkan kontrak selama tiga tahun daripada kerajaan negeri bagi tujuan penyelenggaraan jalan di beberapa daerah di negeri berkenaan.
Antara daerah yang terlibat adalah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kuala Muda, Sik, Kubang Pasu, Kulim/Bandar Baharu, Pendang, Yan, dan Baling. - DagangNews.com