BDB, Shanghai Youzhu bekerjasama laksana projek pengurusan sisa industri di Kedah | DagangNews Skip to main content

BDB, Shanghai Youzhu bekerjasama laksana projek pengurusan sisa industri di Kedah

Raja Shahreen Raja Othman (berdiri depan, kiri) dan Presiden Shanghai Youzhu, Yu Qiang (berdiri depan, kanan) bertukar MoU sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (berdiri belakang, tiga dari kiri), Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah (berdiri belakang, tiga dari kanan) dan Pengerusi BDB, Che Had Dhali (berdiri belakang, dua dari kanan).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menjalin kerjasama dengan Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. (Shanghai Youzhu) bagi melaksanakan projek pengurusan sisa industri secara inovatif.

 

Shanghai Youzhu merupakan syarikat berpangkalan di China yang pakar dalam pengurusan proses komprehensif untuk rantaian bekalan kimia dan pengurusan pemulihan sisa pepejal, merangkumi sisa am dan sisa terjadual.

 

Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata kerjasama tersebut selari dengan Teras 6 Pelan Pembangunan Kedah 2035 (PPK 2035) yang melibatkan kelestarian alam sekitar serta merupakan komponen penting kepada pelan strategik BDB.

 

Menurut beliau, projek yang dicadangkan ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi PPK 2035, tetapi turut mengambil kira aspirasi nasional dan global iaitu Dasar Kebersihan Negara, Dasar Perubahan Iklim Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

“Usaha sama ini bertujuan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dalam melaksanakan pengurusan sisa industri menyeluruh, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, menggalakkan pembangunan mampan serta memastikan pematuhan kepada garis panduan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

 

“Selain itu, kerjasama ini juga bermatlamat untuk menyumbang kepada kesejahteraan penduduk dan komuniti di kawasan persekitaran dan pihak berkepentingan yang berkaitan,” ujar beliau selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Alor Setar, Kedah.

 

 

Raja Shahreen Raja Othman (duduk, kiri) dan Yu Qiang (duduk, kanan) menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (berdiri, dua dari kiri).
Raja Shahreen Raja Othman (duduk, kiri) dan Yu Qiang (duduk, kanan) menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (berdiri, dua dari kiri).

 

 

Raja Shareen menambah bahawa selaras dengan objektif, BDB dan Shanghai Youzhu turut merancang dan meneroka peluang untuk menubuhkan syarikat usaha sama berkaitan pembangunan pengurusan sisa industri di Kedah.

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa BDB memilih untuk bekerjasama dengan Shanghai Youzhu berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka selama 27 tahun dalam menguruskan proses keseluruhan rantaian bekalan bahan kimia industri.

 

Selain itu, katanya, syarikat tersebut memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam pemulihan dan pengurusan sisa pepejal termasuklah sisa berbahaya dan terjadual, proses kitar semula sisa buangan dan mempunyai sistem pengurusan sisa industri secara holistik.

 

Raja Shahreen juga menambah, Shanghai Youzhu kini sedang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa kepada syarikat peneraju pasaran global papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) berpangkalan di Austria, AT&S di Kulim, Kedah dan Chongqing, China.

 

“Shanghai Youzhu juga telah melebarkan sayap di Malaysia dengan penubuhan Jiahui Industrial (Malaysia) Sdn Bhd, yang terlibat secara langsung dalam pengurusan sisa industri,” ujar beliau. - DagangNews.com