Bekalan air dijangka paling cepat pulih 4 hari | DagangNews Skip to main content

Bekalan air dijangka paling cepat pulih 4 hari

air selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menjangkakan bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna dalam tempoh empat hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, perkara tersebut dinilai kepada proses pemulihan yang dijangka memakan masa yang lebih lama bagi memastikan semua pengguna terjejas mendapat bekalan air semula.

"LRA (Loji Rawatan Air) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 masih belum dapat beroperasi semula buat masa ini. Kesemua LRA ini akan hanya beroperasi jika bacaan 0 TON diperoleh sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Apabila mula beroperasi, pengguna akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh empat hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pencemaran masih lagi kesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 1 TON.

Henti tugas tersebut menyebabkan pihak Air Selangor tidak dapat membuat pengagihan air sebanyak 2,767 juta liter sehari kepada pengguna yang melibatkan 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Tambahnya lagi, bantuan bekalan air terus diagih melalui lori-lori tangki selain pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam hingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Lokasi pili awam juga telah ditambah dari semasa ke semasa bagi membantu para pengguna mendapatkan bekalan air alternatif.

Bermula semalam, sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan yang berlaku sejak pukul 10 pagi semalam itu dilaporkan berpunca daripada pencemaran sumber air mentah. - DagangNews.com