Bekalan elektrik disambung selepas keadaan selamat - TNB | DagangNews Skip to main content

Bekalan elektrik disambung selepas keadaan selamat - TNB

Meter elektrik di premis yang ditelenggami air perlu dipastikan kering terlebih dahulu sebelum bekalan dapat disambung kerana ia boleh membahayakan pengguna.

Meter elektrik di premis yang ditelenggami air perlu dipastikan kering terlebih dahulu sebelum bekalan dapat disambung kerana boleh membahayakan pengguna.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon pengguna yang kembali ke kediaman masing-masing selepas terjejas banjir agar bersabar sekiranya bekalan elektrik masih belum disambung semula.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB,  Datuk Ir. Baharin Din berkata, bekalan hanya dapat disambung semula apabila pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik dan meter di premis pengguna telah kering dan dipastikan selamat.

 

"Ada keadaan di mana air banjir telah surut di premis pengguna, namun pencawang elektrik di kawasan itu masih ditenggelami air dan masih dihenti tugas.

 

“Keadaan ini tidak membenarkan TNB untuk menyambung semula bekalan ke kawasan tersebut.

 

“Selain itu, bagi premis pengguna yang ditenggelami air, meter elektrik perlu dipastikan kering terlebih dahulu sebelum bekalan dapat disambung kerana ia boleh membahayakan pengguna," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Baharin Din
Baharin Din

 

Faktor keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama pihak TNB dalam usaha pemulihan bekalan elektrik.

 

Tambah beliau, setelah banjir surut, pengguna turut disaran untuk memeriksa pendawaian di dalam kediaman masing-masing dengan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

Ujarnya, pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air ekoran banjir mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

 

"Fius atau pemutus litar perlu dibersihkan dari kekotoran dan diganti dengan yang baru jika perlu. Manakala soket alir keluar (outlet) yang telah ditenggelami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih agar selamat digunakan.

 

"Sekiranya pengguna ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir, sila hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline bagi tindakan lanjut," jelas beliau lagi. - DagangNews.com