Bekalan minyak sawit mentah tinggi, MIDF Research turunkan unjuran harga kepada RM3,600 setiap tan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Bekalan minyak sawit mentah tinggi, MIDF Research turunkan unjuran harga kepada RM3,600 setiap tan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - MIDF Research menyemak turun unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 5.3% kepada RM3,600 bagi setiap tan pada 2024.

 

Katanya, pelarasan itu dibuat berdasarkan jangkaan bekalan yang banyak tanpa sebarang kekangan yang ketara dalam pengeluaran tempatan.

 

Seperti yang digariskan sebelum ini, firma itu menjangkakan lonjakan dalam bekalan mececah 3.3 juta tan menjelang akhir tahun.

 

"Bagaimanapun. fenomena El Nino boleh memberikan risiko kepada produktiviti tanaman pada suku kedua 2024 dan keadaan itu boleh mewujudkan trajektori menggalakkan untuk harga MSM.

 

"Keadaan itu boleh melonjakkan harga daripada RM3,600 bagi setiap tan kepada hampir RM4,500 setiap tan pada suku kedua tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, tahap pengeluaran kekal dalam pada suku pertama tahun hadapan (tertakluk kepada keadaan semasa) tetapi akan menurun secara beransur-ansur pada bulan kering pada suku kedua 2024.

 

Katanya, keadaan itu akan membawa harga MSM menjadi lebih tinggi pada separuh pertama tahun hadapan.

 

"Selain itu, nampaknya isu yang berkaitan kekurangan tenaga kerja berjaya diatasi walaupun kebanyakan pengeluar terpaksa berurusan dengan pekerja baharu yang masih belum cekap dalam urusan penuaian.

 

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa produktiviti penuai akan menjadi normal pada suku pertama tahun hadapan," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan Ta Ann Holdings Berhad (beli, TP: RM4.25)ebagai pilihan utama. - DagangNews.com