Bekas akauntan negara, lembaga pengarah Sime Darby Datuk Wan Selamah Wan Sulaiman meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Bekas akauntan negara, lembaga pengarah Sime Darby Datuk Wan Selamah Wan Sulaiman meninggal dunia

KUALA LUMPUR 26 Julai - Sime Darby Bhd mengumumkan pengarah bebas dan bukan eksekutifnya, Datuk Wan Selamah Wan Sulaiman, 68, meninggal dunia pada Isnin lalu.

 

Allahyarhamah meninggal dunia di Pusat Kanser Negara, Putrajaya dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

 

"Sebagai mengenang Datuk Wan Selamah, kita meraikan kehidupan yang penuh dengan tujuan dan dedikasi untuk berkhidmat kepada negara kita.

 

"Sepanjang kerjaya yang cemerlang, beliau mempamerkan kepimpinan dan integriti yang boleh dicontohi, meninggalkan legasi yang memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Sumbangan beliau yang tidak ternilai sebagai ahli lembaga pengarah Sime Darby Berhad selama lebih 7 tahun akan dikenang selama-lamanya.

 

"Sambil kita meratapi pemergiannya, marilah kita menghargai detik-detik yang dikongsi dan kesan mendalam yang dia ada dalam kehidupan orang-orang di sekelilingnya. Fikiran dan doa kami ditujukan kepada orang yang dia sayangi semasa tempoh kesedihan ini," kata Simde Darby dalam perutusan di laman rasmi facebook syarikat itu.

 

Wan Selamah, dilantik sebagai bebas dan bukan eksekutif kumpulan Sime Darby itu pada Januari 2016.

 

Allahyarhamah merupakan Akauntan Negara Malaysia pada 2010 dan berkhidmat dalam jawatan itu sehingga bersara pada Disember 2014 sebelum menyertai Prasarana Malaysia Bhd sebagai pengarah dan juga di JKP Sdn Bhd.

 

Wan Selamah memulakan kerjayanya dengan kerajaan pada 1979 sebagai akauntan perbendaharaan di Jabatan Sindiket Peperiksaan Kementerian Pendidikan.

 

Pada 1982, Allahyarhamah berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan sebelum menyertai Jabatan Akauntan Negara pada 1984 di mana beliau memegang pelbagai jawatan, termasuk timbalan akauntan negara korporat, timbalan pengarah tabung amanah pencen kerajaan, pengarah bahagian perkhidmatan teknologi maklumat dan pengarah bahagian operasi pusat dan perkhidmatan agensi antara 1984 hingga November 2010. - DagangNews.com