Bekas CEO KWSP, Tunku Alizakri dilantik sebagai Pengerusi Penjana Kapital baharu berkuat kuasa 8 September 2023 | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO KWSP, Tunku Alizakri dilantik sebagai Pengerusi Penjana Kapital baharu berkuat kuasa 8 September 2023

Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Penjana Kapital Sdn. Bhd. melantik Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Penjana Kapital Sdn. Bhd. yang baharu, berkuat kuasa 8 September 2023.


 
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, Tunku Alizakri yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), akan mengetuai lembaga pengarah dan pasukan eksekutif, memastikan Penjana Kapital meneruskan pertumbuhannya industri modal teroka (VC) di Malaysia.

 

"Pelantikan beliau mencerminkan komitmen syarikat untuk merangsang ekonomi Malaysia pada masa hadapan melalui inovasi syarikat baru, dibiayai oleh modal swasta daripada pelabur strategik antarabangsa dan domestik swasta, dipadankan oleh kerajaan dan seterusnya mewujudkan industri VC yang bertenaga dan mampan," katanya.

 

Penjana Kapital merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengoperasikan program Dana Penjana Nasional (DPN), program dana padanan daripada dana yang dikumpul oleh pengurus dana VC daripada pelabur tempatan asing dan swasta.
 

Tunku Alizakri merupakan ahli lembaga Prudential BSN Takaful, Bumi Armada Berhad, IHH Healthcare Berhad dan Sime Darby Plantation Sdn. Bhd.

 

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai CEO KWSP bermula 2018 hingga 2021, dengan beliau memainkan peranan penting dalam transformasi perniagaan digital KWSP bagi meningkatkan pengalaman digital ahli dan meningkatkan kecekapan operasi.
 

Tunku Alizakri memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari King's College London.
 

Penjana Kapital juga melantik Chris Chia Woon Liat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif kepada Lembaga Pengarah Penjana Kapital.
 

Chris memiliki Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of Western Australia dan MBA dari MIT Sloan School of Management.
 

Beliau juga merupakan rakan kongsi pengurusan di Kendall Court Capital Partners, sebuah firma ekuiti persendirian serantau yang berpangkalan di Singapura. - DagangNews.com