(Dikemas kini dengan kenyataan media terbaru PNB)
KUALA LUMPUR 29 April - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dilaporkan bakal mengganti Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Zeti, yang dilantik ke jawatan itu sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan pada Jun 2018, dijangka melepaskan jawatannya seawal-awalnya 30 April, menurut The Edge yang memetik sumber, hari ini.
PNB bakal mengadakan mesyuarat agung tahunannya Jumaat ini dan bekas Gabenor Bank Negara itu dijangka mengumumkan pengundurannya.
Zeti mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar semasa peralihan kerajaan pada 2018. Abdul Wahid kini merupakan pengerusi Bursa Malaysia Bhd. manakala Arifin berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara antara 2011 hingga 2017.
Pada 12 April lalu, media turut melaporkan Zeti akan melepaskan jawatan pengerusi Sime Darby Property Berhad dan tidak akan mencalonkan namanya untuk pemilihan semula pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-48 syarikat itu bulan depan.
Perkara itu dinyatakan di dalam Laporan Tahunan 2020 syarikat pemaju hartanah itu yang bakal mengadakan AGM pada 6 Mei ini.
Beliau dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Sime Darby Property pada 23 Julai 2018 semasa kerajaan Pakatan Harapan memerintah, menjadikan tempoh khidmatnya hampir tiga tahun.
(KEMAS KINI)
PNB dalam kenyataan hari ini, mengesahkan Zeti akan bersara dan tidak menyambung kontraknya sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang akan tamat esok.
"Zeti secara rasmi sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) bagi menyatakan hasrat beliau untuk tidak memperbaharui tempoh kontrak jawatannya itu setelah menamatkan penggal tiga tahun.
"Sepanjang menjadi Pengerusi PNB sejak 2018, Zeti sudah memacu perjalanan transformasi kumpulan dan menyaksikan institusi itu mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.
"Pertamanya adalah usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas menyaksikan pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus pada akhir 2020. Usaha ini mengukuhkan portfolio pelaburan PNB daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.
"Kedua, PNB berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya, dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.
"Akhir sekali, PNB memulakan transformasi organisasinya, menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif," katanya. - DagangNews.com