KUALA LUMPUR 27 Sept - Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI.
Dalam peranan baharunya, Noor Hisham akan bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik Hospital UCSI, sebuah hospital swasta di Port Dickson dan anak syarikat lain di bawah Kumpulan Kesihatan UCSI.
Beliau akan berkhidmat sebagai Pakar Perunding Bedah (Pelawat) dalam bidang payudara, endokrin dan pembedahan am.
Dr Noor Hisham juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti UCSI, yang mana beliau akan menyumbang kepada program latihan klinikal dan penyelidikan perubatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, organisasi itu akan mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam dasar penjagaan kesihatan awam.
"Kita semua mengingati Noor Hisham atas kepimpinan dan kehadirannya pada kemuncak perjuangan Malaysia menentang COVID-19.
"Beliau merupakan pejuang hadapan dalam tindak balas wabak pandemik yang lepas, beliau memimpin melalui teladan dan rekod prestasinya dalam perkhidmatan awam tiada tandingannya. Saya yakin dia akan membawa UCSI ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Siti Hamisah yang juga Naib Canselor Universiti UCSI berkata, beliau yakin pelajar perubatan universiti tersebut berupaya untuk belajar lebih banyak daripada Noor Hisham.
Noor Hisham bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April 2023 selepas 35 tahun perkhidmatan awam. Beliau berkhidmat sebagai ketua pengarah selama sedekad.
Beliau menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya dalam penjagaan kesihatan awam dan kepimpinannya semasa wabak itu.
Beliau juga diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai salah seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi COVID-19, bersama pakar penyakit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.
Kumpulan UCSI adalah konglomerat Malaysia terkemuka yang memberi impak besar kepada orang ramai, organisasi dan komuniti dari lebih 110 negara.
UCSI aktif dalam tujuh sektor industri iaitu Pendidikan, Perundingan, Penjagaan Kesihatan, Hotel dan Perjalanan, Hartanah, Peruncitan, serta Teknologi. - DagangNews.com