Bekas Panglima ATM Raja Affandi dilantik sebagai Pengerusi LTAT baharu | DagangNews Skip to main content

Bekas Panglima ATM Raja Affandi dilantik sebagai Pengerusi LTAT baharu

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melantik Pengerusi baharu, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkuat kuasa 3 Ogos 2021.

 

Beliau menggantikan Jeneral (Bersara) Datuk Seri DiRaja Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara selepas berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

 

Raja Mohamed Affandi pernah menyandang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016.

 

Beliau bersara pada 2018 selepas menabur khidmat bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 42 tahun.

 

Sebelum menerajui ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-25 pada 2013.

 

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan ketenteraan dan diplomasi ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Panglima Medan Tentera Darat.

 

Raja Mohamed Affandi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan (Australia) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik (Pakistan).

 

Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera ke-19 dari Disember 2016 hinggapersaraan beliau pada 2018.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Rahman, berkata LTAT mengalu-alukan kedatangan Raja Mohamed Affandi sebagai Pengerusi LTAT yang baharu.

 

"Dengan pengalaman beliau dalam kepimpinan ketenteraan, beliau membawa bersama tradisi kepimpinan yang efektif yang akan memandu LTAT dalam perjalanan transformasi menjadi sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, sebagai Pengerusi LTAT terdahulu, Zahidi memainkan peranan yang amat penting dalam memberi pandangan serta hala tuju untuk pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang baik serta memainkan peranan besar dalam menyumbang buah fikiran dalam proses merangka Pelan Transformasi LTAT.

 

"Jasa Zahidi memimpin dan membimbing Lembaga serta barisan pengurusan kanan dalam pelbagai inisiatif selama ini amat dihargai.

 

"Saya mewakili warga LTAT, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas segala khidmat bakti serta kebijaksanaan Zahidi sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengerusi kami," katanya. - DagangNews.com