Bekas pengerusi interim PKR Perak, Dr Lee Boon Chye dilantik sebagai Pengerusi Bioeconomy Corporation baharu | DagangNews Skip to main content

Bekas pengerusi interim PKR Perak, Dr Lee Boon Chye dilantik sebagai Pengerusi Bioeconomy Corporation baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) mengumumkan pelantikan Dr Lee Boon Chye sebagai pengerusi bukan eksekutif lembaga pengarah yang baharu pada 11 Julai 2023. 

 

Bioeconomy Corporation memaklumkan, beliau yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang bersara pada 16 Disember 2022.

 

"Lee membawa bersamanya pengalaman yang luas terutamanya dalam sektor perubatan. Beliau kini merupakan Pakar Perunding Residen dan Pakar Kardiologi di Hospital Pakar KPJ Ipoh. 

 

"Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dari 2018 hingga 2020 dan tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Gopeng dari 2008 hingga 2012. 

 

"Beliau juga merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi di Parlimen," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut kenyataan itu, di samping kedudukan beliau sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat swasta, Lee juga memainkan peranan penting dalam pembangunan industri pelancongan penjagaan kesihatan di Malaysia melalui jawatan pengarahnya dalam Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia.

 

Bioeconomy Corporation mengucapkan selamat datang kepada Lee sebagai pengerusi yang baharu. 

 

Dengan kepakaran dan kepimpinannya, organisasi itu bakal mengukuhkan komitmennya untuk memajukan bioteknologi dan industri berasaskan bio yang mengharmonikan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar di Malaysia. - DagangNews.com