Lee Thien Fook di hadapan Ladang Eko Signal Hill yang diusahakannya tidak jauh dari Kota Kinabalu, Sabah.
By Dominic G. Joseph
[email protected]
KOTA KINABALU 30 Dis - 'Signal Hill' adalah puncak tertinggi dan merupakan satu daripada tempat terbaik untuk mendapatkan pemandangan panorama bandar raya Kota Kinabalu.
Kawasan ini cukup menarik untuk dilawat dan beberapa minit pemanduan dari 'Menara Pencerapan Signal Hill' ialah 'Ladang Eko Signal Hill' yang mesti disinggahi.
Pengunjung gemar ke ladang eko yang unik ini untuk meregangkan otot-otot, melancarkan peredaran darah dengan menghirup udara bersih, bersantai bersama kawan-kawan sambil menikmati keindahan alam sekitar yang menyenangkan.
DagangNews.com diberitahu bahawa perjuangan melawan kanser untuk dirinya adalah motivasi utama Lee Thien Fook, 76, membuka ladang eko tersebut. Isterinya juga adalah bekas penghidap kanser.
Menurut Lee, ketika berusia 48 tahun pada 1995, pakar kanser telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya ada dua bulan untuk hidup.
‘’Saya juga dinasihatkan untuk mendaftar di unit penjagaan paliatif di Hospital Besar Queen Elizabeth.
"Namun saya memutuskan untuk pergi ke Tawau dan menghabiskan masa bersama anak saya. Di Tawau saya bertemu dengan seorang pengusaha perubatan tradisional.
''Beliau memberi saya rumusan perubatan tradisional untuk diminum. Selepas beberapa minggu saya kembali membuat pemeriksaan darah saya dengan pakar kanser dan mendapati keadaan kesihatan saya bertambah baik," katanya.
"Bila kesihatan saya semakin pulih, saya membuat keputusan untuk mengubah gaya hidup,’’ ujarnya.
Pada masa yang sama, Lee membuat banyak kajian tentang bagaimana seseorang itu boleh memulihkan kesihatannya dengan menggunakan cara semulajadi dan alam sekitarnya.
"Dengan azam dan semangat yang baharu ini, saya mengusahakan 'Ladang Eko Signal Hill’ pada penghujung November 2012," katanya.
Usaha Lee itu mendapat sokongan penuh dari Jabatan Pertanian Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut beliau, tanaman di situ bukan tanaman organik, sebaliknya ia ditanam menggunakan teknik semula jadi dan tidak menggunakan baja atau racun perosak.
Beliau menggunakan 'air berstruktur', jenis air ini wujud secara semulajadi di mata air gunung, pencairan glasier, dan sumber lain yang tidak disentuh. Air ini digunakan untuk semua tanaman dan penternakan di ladang tersebut.
Selain dari itu, Lee dianggap pengusaha yang pertama di Malaysia yang menanam sayur 'Kale' secara komersial.
Sayur 'Kale' in adalah 'Raja' di antara sayur-sayuran. Daun 'Kale' memiliki kandungan gizi yang sangat tinggi dan menawarkan segudang manfaat bagi tubuh.
Sayur 'Kale' dijual di pasaran pada harga RM50 sekilogram!
Lain-lain sayur-sayuran yang ada di ladang eko ini adalah, 'Black Garlic', 'Ginseng Leaves' dan Telur Ginseng (sumbangan UMS).
"Tiap-tiap hari anda boleh memerhatikan banyak pengunjung ke ladang eko ini untuk membeli sayur-sayuran atau menikmati makanan yang disediakan dari hasil ladang eko dengan harga yang munasabah.
‘’Saya memerhatikan banyak pengunjung tertarik dengan cerita peribadi saya sebagai seorang bekas pesakit kanser, " ujar Lee. - DagangNews.com