BELANJAWAN 2021: Cukai pendapatan diturunkan 1 mata peratusan | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: Cukai pendapatan diturunkan 1 mata peratusan

Cukai pendapatan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kerajaan turut mengumumkan beberapa inisiatif utama dalam Belanjawan 2021 bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak COVID-19.

 

Inisiatif tersebut dibentangkan di bawah langkah kedua untuk meringankan beban hidup rakyat.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu termasuk penurunan kadar cukai pendapatan.

 

"Kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak 1 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.

 

"Langkah itu dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai," jelas beliau dalam sesi pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

 

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam B40.

 

Institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima BSH dan bakal penerima BPR dan kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000 ribu ringgit.

 

Peminjam dalam kategori itui akan diberi pilihan:

  • Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan; atau
  • Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.

 

Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan dan menyempurnakan dokumentasi.

 

Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan yang mana peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik. 

 

Fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020. - DagangNews.com