Belanjawan 2021 : Dijangka tiada cukai baharu - UOB | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 : Dijangka tiada cukai baharu - UOB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Kerajaan dijangka tidak memperkenalkan sebarang pelaksanaan cukai baharu melainkan cukai pencemaran atau karbon pada Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 November ini. 

Malah, menurut penganalisis UOB dalam Laporan Pasaran dan Ekonomi Global, kerajaan mungkin menyelaraskan semula sistem cukai sedia ada bagi mengurangkan kebocoran dalam hasil pendapatan negara. 

"Kami menjangkakan langkah-langkah rangsangan yang dilaksanakan tahun ini seperti subsidi gaji, bantuan kewangan kepada B40 dan M40, pengecualian cukai jualan automatif dan juga berkaitan hartanah diteruskan pada 2021. 

"Ini dapat menyokong aktiviti pelaburan, penggunaan, memperkukuhkan pendigitalan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menggalakkan persekitaran yang lebih berdaya saing," katanya dalam laporan berkenaan. 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Belanjawan 2021 memberi peluang yang tepat pada masanya bagi kerajaan mempertimbangkan dan menerima pakai pendekatan lebih mapan untuk mengembangkan ekonomi di samping membina daya tahan negara terutama dalam menghadapi pandemik COVID-19. 

Sebagai sebahagian Strategi Pemulihan 6R kerajaan, Belanjawan 2021 menumpukan langkah menggiatkan semula ekonomi serta menyasarkan perlindungan kehidupan dan pendapatan, berasaskan momentum pemulihan semasa, dipacu menerusi pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN). 

Menurut UOB, dengan mengambil kira pemulihan ekonomi masih tidak menentu, Belanjawan 2021 dilihat akan terus
diperluas dengan bantuan diberikan kepada kumpulan sasaran, langkah tambahan bagi merangsang pelaburan dan mendorong kawasan pertumbuhan baharu.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik berlakunya pemulihan ekonomi pada tahun hadapan, kebimbangan pasaran mungkin berubah untuk melihat bagaimana kerajaan menangani risiko fiskal dan program-program bantuan yang diberikan kepada rakyat. 

"Kami mengunjurkan defisit fiskal akan menyusut sedikit kepada 5.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 berbanding 6% tahun ini. Tetapi, ia masih lagi tinggi berbanding had 3% sebelum ini. 

"Ini berdasarkan kepada unjuran pertumbuhan negara 5.5% pada 2021 (berbanding -3.5% tahun ini) dengan inflasi utama pada kadar 2.1%," jelasnya. 

Kerajaan sebelum ini menjangkakan defisit fiskal tahun ini kekal berada pada paras sasaran 5.8 hingga 6% daripada KDNK dengan mengambil kira 2021 adalah tahun peralihan fasa pemulihan krisis COVID-19. - DagangNews.com