Belanjawan 2022 :  Fokus tingkatkan pelaburan domestik, saran Maybank IB  | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2022 :  Fokus tingkatkan pelaburan domestik, saran Maybank IB 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kerajaan disaran untuk menumpukan kepada usaha meningkatkan pertumbuhan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan bulan hadapan.

 

Menurut Maybank IB Research, data terkini daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan DDI yang diluluskan pada separuh pertama 2021 meningkat sederhana pada kadar 3.6% tahun ke tahun berbanding tahun sebelumnya. 

 

“Ini menunjukkan keperluan untuk memacu DDI, terutamanya dalam membangunkan kapasiti pengeluaran tempatan dan keupayaan bekalan untuk daya tahan ekonomi dan sekuriti.

 

‘’Ia juga perlu bagi mempercepatkan penstrukturan semula ekonomi untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing melalui penggunaan teknologi, automasi, pendigitalan, inovasi dan kreativiti,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Firma tersebut berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan dalam pelaburan yang diluluskan sebanyak 68.9% tahun ke tahun pada separuh pertama 2021 berbanding -19.5% yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Pemulihan pada separuh pertama 2021 didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan yang melonjak 214.9% tahun ke tahun dengan hampir 75% dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), sekali gus menunjukkan positif insentif cukai dan fiskal di bawah bajet sebelumnya dan pakej rangsangan ekonomi untuk menarik FDI,” katanya. 

 

Dalam pada itu Maybank IB Research berkata, kenyataan pra-Belanjawan  menunjukkan Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan terutamanya kepada pengurusan ketirisan hasil, mengukuhkan pematuhan cukai dan mengkaji semula insentif cukai ke atas pelaburan.

 

“Penyeludupan yang berleluasa telah menyebabkan kenaikan cukai dosa yang lalu tidak produktif dalam membendung penyeludupan dan ia juga tidak berkesan dalam meningkatkan hasil, seperti dalam kes rokok di mana kerugian hasil daripada aktiviti penyeludupan dilaporkan setinggi RM5 bilion,” katanya.

 

Tambahnya, banyak yang perlu dilakukan dalam menguruskan ketirisan hasil memandangkan ‘ekonomi gelap’ yang pelbagai dan saling berkaitan dilaporkan bernilai sama dengan 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Sebagai contoh, hasil pengendali perjudian haram dilaporkan sekitar 60% lebih daripada hasil 6 syarikat perjudian berlesen di negara ini yang tertakluk kepada cukai pendapatan korporat serta cukai, duti dan levi berkaitan perjudian, seterusnya menyebabkan kerajaan kerugian sebanyak RM3 bilion hasil setiap tahun, kata Maybank IB. - DagangNews.com