Belanjawan 2022 : Tanpa cukai baharu, kerajaan perkukuh hasil negara - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2022 : Tanpa cukai baharu, kerajaan perkukuh hasil negara - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kerajaan akan memperkukuhkan sistem cukai negara bagi menampung hasil negara meskipun tiada sebarang cukai baharu diperkenalkan dalam Belanjawan 2022, demikian menurut penganalisis.

 

Belanjawan 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini.

 

Kenanga Research berkata, antara strategi yang akan dilaksanakan terutamanya membabitkan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung seperti cukai jualan, perkhidmatan, duti kastam dan eksais dan cukai pelancongan. 

 

Program ini kali pertama diperkenalkan ketika Belanjawan 2019 sebagai salah satu usaha menggalakkan pembayar cukai tampil ke hadapan untuk mengisytihar cukai tidak berbayar dengan mengenakan penalti yang minimum. 

 

"Program ini membolehkan kutipan cukai tambahan sebanyak RM7.9 bilion berbanding cukai-cukai lain," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Selain itu, firma itu juga berpendapat, kerajaan akan mempertimbangkan memperkenalkan pensijilan pematuhan cukai sebagai prasyarat kepada pembida tender untuk menyertai perolehan kerjaan dan melaksanakan nombor pengenalan cukai bagi memastikan lebih banyak pembayar cukai dimasukkan di dalam sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

 

"Beserta dengan pemulihan ekonomi pasca pandemik yang kukuh pada 2022, kami melihat ia akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam keseluruhan kutipan pendapatan cukai," jelasnya.

 

Di samping memperkenalkan langkah untuk meningkatkan hasil cukai, kerajaan juga mempunyai strategi untuk mengukuhkan lagi sistem cukai di negara ini. 

 

Terdapat 2 pendekatan dibangkitkan dalam Kenyataan Pra Belanjawan iaitu semakan semula insentif cukai dan pelaksanaan strategi hasil dalam tempoh sederhana (MTRS). 

 

"Memandangkan insentif fiskal merupakan antara faktor yang menarik pelaburan, kerajaan merancang untuk menyediakan kerangka kerja insentif yang responsif kepada perubahan dalam persekitaran perniagaan dan landsckap ekonomi bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan menyediakan pulangan posifif kepada kedudukan fiskal dan ekonomi negara.

 

"Sebaliknya, MTRS merupakan satu inisiatif untuk memastikan hasil kerajaan melalui kutipan cukai diurus secara berterusan dan meningkat dengan mampan selaras dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," menurut Kenanga Research.

 

Firma itu menjangkakan Kementerian Kewangan akan mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2022 sekitar 5 hingga 6% berbanding ramalan Kenanga, 5.5 hingga 6% memandangkan Malaysia kini bergerak kepada fasa endemik selepas berdepan sekatan pergerakan dalam tempoh yang lama tahun ini.

 

Perancangan kerajaan untuk melaksanakan pengukuhan fiskal menerusi Kerangka Kerja Fiskal Bagi Tempoh Sederhana (MIFF) mulai 2021 hingga 2023 dengan purata desfisit fiskal pada 4.5% juga dijangka mencabar dalam tempoh terdekat dan sederhana.

 

Keadaan ini disebabkan oleh ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 meskipun kerajaan menyasarkan untuk beralih ke fasa endemik serta beberapa faktor risiko luaran terutama ketegangan China-Amerika Syarikat (AS) yang akan menyebabkan pemulihan ekonomi lebih perlahan sekali menjejaskan pertumbuhan.

 

"Namun begitu, kami terus menjangkakan kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan bagi mengawal ketirisan dan pembaziran di samping menyasarkan projek nilai tambah yang boleh menawarkan kesan pengganda lebih tinggi.

 

"Sebagai perbandingan, kami mengunjurkan defisit fiskal asas sebanyak 6.9% daripada KDNK pada 2022 (2021: 6.2%), lebih melebar daripada sasaran kerajaan dalam MTFF kerana kami menjangkakan kerajaan akan mengetepikan antara RM5 hingga RM10 bilion dalam bentuk dana luar jangka disebabkan ketidaktentuan pandemik dan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 tahun depan, serta risiko berkaitan kejutan luaran," jelasnya.

 

Dalam pada itu, Kenanga Research berkata, paras hutang kerajaan dijangka mencecah 64.5% daripada KDNK menjelang akhir 2021 (berbanding 62.2% pada 2020) manakala paras hutang statutori mencecah 60%. 

 

"Dengan mengambil kira bajet pengembangan, kenaikan had hutang statutori dan defisit fiskal yang diunjur melebar kepada 6.9% daripada KNDK atau RM112.6 bilion tahun hadapan, kami menjangkakan hutang Kerajaan Persekutuan akan meningkat kepada 66.9% daripada KDNK pada 2022," jelas firma tersebut.  

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan agensi penarafan antarabangsa akan mengekalkan penarafan kredit terhadap Malaysia sekurang-kurangnya sehingga semakan semula pada pertengahan 2022 di sebalik kenaikan paras hutang kerajaan.

 

Firma itu turut berpendapat, masih banyak ruang fiskal boleh diwujudkan jika kerajaan meningkatkan hasil bukan cukai daripada dana syarikat milik kerajaan (GLC) selain hasil pendapatan pelaburan yang diterima daripada Bank Negara Malaysia, Khazanah Nasional Bhd. dan Petronas.

 

"Antaranya, adalah menerusi dana GLC seperti Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Aset di bawah pengurusan KWAP ketika ini berjumlah RM150 bilion, lebih 3 kali ganda berbanding saiz awal pada 2007. 

 

"Sebagai tambahan, kerajaan juga boleh menggunakan tambahan sebanyak RM4.1 bilion, baki pulangan pelaburan dalam Dana Amanah Negara," katanya. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, negara dijangka merekodkan hasil minyak dan gas yang kukuh termasuk cukai pendapatan petroleum, royalti dan bayaran dividen Petronas dianggar sebanyak RM24 bilion pada 2022 berdasarkan harga minyak minyak yang berlegar pada paras AS$70 setong.

 

"Bagi memacu pemulihan ekonomi, kami juga menjangkakan tiada cukai diperkenalkan dalam Belanjawan 2022.

 

"Tetapi, peruntukkan bagi dana COVID-19 dijangka berkurangan sedikit sebanyak 20% daripada RM40 bilion yang diagihkan pada 2021," tambahnya.

 

Bagaimanapun, katanya, kerajaan dijangka meneruskan subsidi upah, insentif pengambilan pekerja dan program bantuan latihan, bantuan tunai kepada isi rumah B50 dan individu serta bantuan berkaitan COVID-19.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang daripada 3.9% yang diramalkan tahun ini kepada 5.6% pada 2022.

 

"Ini akan disokong oleh peningkatan hasil fiskal sebanyak 6.4% tahun ke tahun atau RM14.3 bilion, walaupun kerajaan tidak akan mengumumkan sebarang pelaksanaan cukai baharu dalam belanjawa kali ini," jelas firma berkenaan. - DagangNews.com