Belanjawan 2023: Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima Sumbangan Tunai Rahmah | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima Sumbangan Tunai Rahmah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan sehingga RM2,500 itu bergantung kepada bilangan anak.

 

Beliau berkata, beberapa pembaharuan itu diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

 

Pada masa sama, beliau memaklumkan, kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.

 

“Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 kepada mereka.

 

"Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100," katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

 

"Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40, tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR telah memanfaatkan lebih 60% daripada rakyat dewasa negara.

 

"Akhir sekali tidak dilupakan, kepada 2 juta orang belia 18 hingga 20 tahun, kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 dengan peruntukan RM400 juta ringgit," katanya.

 

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan. 

 

Beliau berkata, Inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya RM5 dan dijangka terus menerima sambutan baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.

 

Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30% lebih murah berbanding pasaran. 

 

"Kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program ini di setiap kawasan Parlimen dan akan meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan," katanya. - DagangNews.com