Belanjawan 2024: Agensi penguatkuasaan perhebat usaha banteras rokok seludup, tangani ketirisan hasil negara | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Agensi penguatkuasaan perhebat usaha banteras rokok seludup, tangani ketirisan hasil negara

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerjasama antara agensi penguatkuasaan akan dipertingkatkan dalam usaha membanteras rokok seludup yang masih tinggi di pasaran termasuk memperketatkan kawalan penyeludupan minuman keras, mulai 1 Januari 2024.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat usaha sama menangani ketirisan hasil. 

 

Beliau berkata, langkah kawalan penyeludupan rokok umpamanya telah menyumbang kepada penurunan peratus rokok tidak sah di pasaran tempatan kepada 56.6% pada tahun 2022 berbanding 63.8% pada tahun 2020.

 

"Mulai 1 Januari 2024, kerajaan akan memperketat langkah kawalan penyeludupan dan memperluas kepada produk minuman keras. Aktiviti pindah kapal bagi produk minuman keras akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja.

 

"Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam akan dijadikan sebagai laluan keluar tunggal bagi wilayah utara.

 

"Aktiviti import bagi rokok untuk pasaran domestik pula hendaklah dilakukan secara muatan kontena secara penuh," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Anwar berkata, kerajaan menghargai komitmen agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam 
meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi membanteras ketirisan hasil negara. 

 

 

anwar

 

 

Katanya, ketangkasan tindakan PDRM membanteras jenayah dan ikhtiar SPRM menggeledah pengamal sindiket kewangan dankartel perlu dihargai. 

 

"Sebagai langkah dorongan, sukacita saya bersetuju bahawa agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang akan diberikan ganjaran sewajarnya," katanya. - DagangNews.com