Belanjawan 2024: Kerajaan peruntuk RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia basmi kemiskinan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Kerajaan peruntuk RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia basmi kemiskinan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berupaya membasmi kemiskinan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak ditubuhkan, AIM berjaya membantu 1 juta peminjam khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan. 

 

"AIM telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dengan mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) terendah iaitu 0.26% pada tahun 2022," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

 

Menurut Anwar, bermula tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi.

 

Katanya, tahun hadapan nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjumlah sehingga RM44 bilion.

 

"Tentunya, PMKS disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti BNM, BSN dan TEKUN," katanya.

 

Tambah beliau, pada tahun hadapan, RM600 juta ringgit disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan. 

 

 

anwar

 

 

Setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi 75% PKS bukan Bumiputera dan 25% PKS Bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

 

"Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80% pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion," katanya. - DagangNews.com