Belanjawan 2024: Kerajaan sedia peruntukan RM2.8 bilion selenggara jalan Persekutuan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Kerajaan sedia peruntukan RM2.8 bilion selenggara jalan Persekutuan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Sejumlah RM2.8 bilion akan diperuntukkan bagi menyelenggara jalan dan jambatan Persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, khidmat jurutera daerah akan terus diperkasakan bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan alan Persekutuan.

 

Beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

 

“Alhamdulillah, setakat Ogos, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.

 

“Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di jalan Persekutuan.

 

“Kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS berjumlah RM5.4 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat hari ini.

 

madani

 

Perdana Menteri menambah, RM100 juta juga disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60%.

 

“RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara.

 

“Akhir sekali, RM50 juta juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik,” katanya lagi.

 

Beliau berkata, pada tahun hadapan kerajaan akan terus membaik pulih tandas-tandas awam seluruh negara dengan RM150 juta disediakan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 PBT seluruh negara.

 

"Tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur. 

 

"Insya Allah, projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini juga," katanya.- DagangNews.com