Belanjawan 2024: Kerajaan sedia RM1.1 bilion selesai isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Kerajaan sedia RM1.1 bilion selesai isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih di Kelantan, Sabah dan Labuan menerusi Belanjawan 2024.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air. 

 

Beliau berkata, paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor. 

 

"Sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, bagi mengatasi isu bekalan air khususnya di Kota Kinabalu, tumpuan adalah bagi memulih dan menggantikan infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

 

madani

 

Beliau berkata, bagi Labuan pula, usaha ditumpukan kepada penggantian paip-paip yang usang serta membaik pulih infrastruktur air sedia ada.

 

"Kerajaan Perpaduan berikrar bahawa isu bekalan air bersih harus dinoktahkan terutamanya di Kelantan, Sabah dan Labuan," katanya.

 

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju memperkenalkan Program Kampung Angkat Madani dan program itu memberi tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas termasuk internet di kawasan desa yang terpinggir. 

 

Beliau berkata, bagi memastikan ketangkasan jentera kerajaan agar tidak bertindak secara silo, semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan akan mengembleng tenaga rentas kementerian serta bekerjasama dengan GLC, GLIC dan badan swasta untuk menjayakan Program ini. - DagangNews.com