Belanjawan 2024: Kerajaan sediakan peruntukan RM44 bilion bagi usahawan PMKS | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Kerajaan sediakan peruntukan RM44 bilion bagi usahawan PMKS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan menyediakan pinjaman dan jaminan pembiayaan sebanyak RM44 bilion bagi manfaat usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan pinjaman kecil kepada usahawan mikro dan peniaga kecil dengan dana keseluruhan berjumlah RM2.4 bilion di bawah agensi Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpnanan Nasional (BSN) dan TEKUN.

 

Beliau berkata, sejumlah RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

 

Katanya, RM330 juta di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

 

“RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India. 

 

"Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

madani

 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sejumlah RM8 bilion dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat PKS di bawah BNM.

 

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM600 juta dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

 

Katanya, bagi 2024, RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

 

"Setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100 ribu PKS merangkumi 75% PKS bukan bumiputera dan 25% PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion ringgit. 

 

"Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80% pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion," katanya.- DagangNews.com