Belanjawan 2024: Kerajaan setuju beri diskaun bayaran balik PTPTN sehingga 31 Mac 2024 | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Kerajaan setuju beri diskaun bayaran balik PTPTN sehingga 31 Mac 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober sehingga 31 Mac 2024.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, diskaun tersebut diberikan bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam.

 

Beliau berkata, bagi kadar pertama, diskaun 10% diberikan ke atas atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

 

“Kedua, diskaun 10%  untuk bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

 

“Ketiga, diskaun 15% untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

 

Di samping itu, Anwar turut menegaskan pendirian berhubung kebajikan pelajar universiti, yang mana beliau tidak mengizinkan halangan atau penafian mahasiswa daripada keluarga susah daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

 

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Anwar berkata bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 ringgit kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

 

Pada masa yang sama, katanya, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. 

 

“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar,” tambahnya.

 

Anwar berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti dan PTPTN atau badan lain memudahkan cara serta membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran.  - DagangNews.com