Belanjawan 2024: Peruntukan RM1.2 bilion disedia bagi pelbagai bentuk bantuan kepada golongan OKU | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Peruntukan RM1.2 bilion disedia bagi pelbagai bentuk bantuan kepada golongan OKU

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.2 bilion untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus melindungi kesejahteraan dan mendaya upaya golongan OKU untuk mandiri.

 

Menurut beliau, sejumlah RM1.2 bilion disediakan, antaranya untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.

 

Di samping itu, beliau berkata kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti akan ditingkatkan kepada RM300 sebulan pada tahun depan berbanding RM150 sebelum ini.

 

“Peningkatan ini akan memanfaatkan lebih 18,000 pelatih OKU dengan tambahan peruntukan RM30 juta,” ujar beliau ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

 

Bagi memberikan manfaat kepada usahawan OKU mikro, Anwar berkata kemudahan pembiayaan khas oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) disediakan sebanyak RM50 juta.

 

Selain bantuan kewangan kepada golongan OKU, Anwar berkata RM30 juta turut disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.

 

“Kerajaan akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti.

 

“Sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara,” tambahnya.

 

Bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan mendaya upaya usahawan setempat, Anwar berkata kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.

 

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus menggalakkan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan dan warga emas mendapat pekerjaan dengan gaji bermakna.

 

“Bagi menggalakkan majikan swasta menggaji golongan rentan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif khas sebanyak RM1,500 ringgit sebulan selama enam bulan untuk menyokong kemasukan lebih 3,300 pencari kerja dengan peruntukan RM30 juta,” tambahnya.

 

Menurut beliau, Dasar 1 Peratus Peluang Pekerjaan kepada OKU juga akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP.

 

“Golongan rentan yang mengikuti MySTEP akan ditawarkan penempatan secara kontrak dengan elaun RM1,500 untuk tempoh enam bulan di pelbagai kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan strategik kerajaan,” katanya.  - DagangNews.com