Belanjawan 2024: Sumbangan Tunai Rahmah dinaikkan kepada RM500 disalur sebelum Ramadan tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Sumbangan Tunai Rahmah dinaikkan kepada RM500 disalur sebelum Ramadan tahun hadapan

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Bayaran pertama Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 akan mula disalurkan kepada 9 juta penerima sebelum Ramadan tahun hadapan.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu susulan penyasaran semula subsidi, membolehkan kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui STR.

 

Beliau berkata, peruntukan STR meningkat sebanyak RM2 bilion atau 25% daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

 

Katanya, kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700, manakala kadar minimum STR iaitu untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

 

"Saya mendengar keluhan majoriti rakyat yang mendepani cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan. 

 

"Isu ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

 

Anwar berkata, tahun ini kerajaan telah perkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200,000 penerima STR sebanyak RM100 ringgit sebulan untuk tempoh enam bulan. 

 

 

anwar

 

 

"Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad. 

 

"Mengambil kira maklum balas yang amat baik, kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700,000 penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan," katanya.

 

Dalam pada itu katanya, STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. 

 

"Insya-Allah, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024," katanya. - DagangNews.com