Belanjawan Negeri Sembilan 2021 berjumlah RM560 juta | DagangNews Skip to main content

Belanjawan Negeri Sembilan 2021 berjumlah RM560 juta

Aminuddin Harun

Aminuddin Harun 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan peruntukkan sebanyak RM560 juta dalam perbelanjaan 2021 peringkat negeri.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jumlah peruntukan itu melebihi jangkaan hasil iaitu RM448 juta.

 

"Kedudukan rezab yang kukuh sebanyak RM1.02 bilion, membolehkan Kerajaan Negeri menetapkan peruntukan perbelanjaan tahun 2021 sebanyak RM560 juta iaitu melebihi dari jangkaan hasil sebanyak RM448 juta atau defisit sebanyak RM112 juta yang merangkumi  inisiatif-inisiatif kebajikan, bantuan dan insentif. 

 

"Manakala sebanyak RM153 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan," jelas beliau ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

 

Belanjawan Negeri Sembilan 2021 yang bertemakan 'Merangsang Ekonomi, Memperkasa Rakyat' itu akan merialisasikan empat strategi melalui 53 inisiatif yang memfokuskan kepada lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, institusi adat dan pentadbiran.

 


Berikut adalah ringkasan peruntukan dalam lapan bidang tumpuan Belanjawan Negeri Sembilan 2021;

 

Ekonomi rakyat

  • Kerajaan negeri memperuntukkan RM13.75 juta yang meliputi pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam bentuk remisyen cukai, fasiliti kredit dan geran kewangan untuk usahawan dan bakal usahawan, penjaja serta galakan pengeluaran agro makanan.

 


 

Pendidikan 

  • Sebanyak RM9.9 juta diperuntukkan yang merangkumi bantuan kewangan bulanan kepada pelajar, peluang peningkatan tahap pendidikan, penyediaan fasiliti dan budaya ilmu serta kenaikan elaun Guru KAFA.


 

Kebajikan 

  • Sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan yang merangkumi tujuh inisiatif seperti bantuan peralatan perubatan dan tabung bantuan haemodialisis, tambahan elaun bantuan am, Khairat Kematian dan Hibah Takaful, food bank dan rumah transit untuk gelandangan.

 

 

Pemerkasaan komuniti

  • Sebanyak RM21.09 juta diperuntukkan bagi membiayai sembilan inisiatif yang terdiri daripada geran aktiviti program MPKK, Bas percuma, Desa Muafakat NS,  Program Rumah Harapan Rakyat,  penyelenggaraan perumahan awam, penyelenggaraan perumahan swasta, penyelenggaraan 16 taman rekreasi awam, pemasangan LED billboard dan ERAT@NS.

 

 

Belia & wanita

  • Bidang tumpuan ini akan menyediakan sebanyak RM4.91 juta bagi program dan aktiviti pembangunan serta kebajikan para belia dan wanita melalui pemberian geran dan bantuan.

 

 

Kerohanian dan agama

  • Sebanyak RM6.32 juta disediakan untuk pembangunan fizikal, sumber daya insan dan juga pemberian elaun kepada bilal, siak dan pembantu am wanita.
  • Selain itu, peruntukan turut disediakan untuk membiayai perbelanjaan di bawah hal ehwal bukan Islam dan perolehan mesin krematorium.

 

 

Institusi adat

  • Sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai program adat, pemberian geran aktiviti serta geran pemuliharaan rumah/bangunan warisan di seluruh Negeri Sembilan.

 


 

Pentadbiran

  • Bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan Pentadbiran Negeri dari segi kemudahan infrastruktur e-governance, sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk urusan pentadbiran secara dalam talian yang lebih menyeluruh. - DagangNews.com