WANG boleh didefinisikan sebagai apa-apa sahaja benda yang boleh diterima umum sebagai pembayaran untuk barangan, perkhidmatan dan hutang piutang.
Perkataan diterima umum amat penting dalam definisi ini, kerana orang ramai menumpukan perhatian kepada fakta bahawa apa-apa juga komoditi sama ada dikeluarkan oleh kerajaan atau tidak boleh bertindak sebagai wang.
Apabila membincangkan soal wang, mahasiswa antara kumpulan isi rumah yang terkesan dengan masalah kewangan. Peningkatan kos sara hidup menjadi punca utama wujudnya isu kewangan dalam kalangan mahasiswa di institut pengajian tinggi.
Boleh dikatakan kebanyakan pelajar bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pengajian demi meneruskan kelangsungan hidup di universiti tidak kira sama ada universiti awam atau swasta.
Ketidaktentuan ekonomi sekarang mendorong mahasiswa untuk mempunyai kemahiran asas dalam mengurus kewangan kerana golongan ini mudah terdedah dengan pengurusan kewangan yang kurang bijak sehingga menyebabkan masalah kewangan dan tekanan terhadap prestasi akademik dan keperibadian mahasiswa.
Pengurusan kewangan sangat peting untuk dirancang dengan baik agar mereka sentiasa komited dalam pembelajaran dan bukan menjadi penghalang untuk berjaya dalam akademik.
Jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan, ia bukan sahaja memberi kesan fizikal tetapi ia juga memberi kesan yang amat dalam kepada emosi seseorang terutamanya kepada pelajar.
Hal ini menyebabkan prestasi akademik pelajar tersebut terjejas. Ini juga satu punca utama yang menyebabkan mahasiswa mengalami masalah kewangan.
Boleh dikatakan lebih 60% pembeli menyatakan bahawa mereka membeli mengikut keinginan dan bukannya keperluan.
Dalam hal ini, kita perlu bijak dalam merancang perbelanjaan supaya ia tidak akan memudaratkan diri sendiri pada masa hadapan.
Keperluan ialah sebarang benda yang anda betul-betul perlukan untuk memastikan kelangsungan kerja atau matlamat tugasan anda tercapai.
Contohnya seperti komputer riba bagi seorang pelajar. Komputer riba amat penting untuk memastikan semua tugasan yang diberikan oleh mahasiswa dapat dilaksanakan dengan baik dan dihantar mengikut masa yang telah ditetapkan.
Setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah berpadanan dengan kemampuan anda. Jangan terlalu mementingkan cita rasa kerana ia pasti akan memudaratkan.
Dunia konsumerisme yang penuh dengan iklan-iklan di televisyen, surat khabar dan pelbagai lagi medium pemasaran, menyebabkan para pengguna berlumba-lumba untuk membeli barangan berjenama.
Mungkin anda bukan seorang yang boros, tetapi anda merupakan seorang yang sukar untuk menolak tawaran jualan terutamanya daripada penjual di kalangan rakan-rakan atau ahli keluarga.
Anda perlu faham, matlamat akhir seorang penjual ialah untuk memastikan barangannya terjual. Ada penjual yang tidak mempedulikan apa-apa jua alasan yang diberikan oleh pelanggan.
Berbalik kepada isu kewangan, kehidupan di universiti adalah masa yang berharga untuk pelajar bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk kehidupan peribadi.
Ia tidak seperti tinggal di rumah dengan ibu bapa anda di mana semua pembiayaan dan perbelanjaan disalurkan. Pelajar kini bebas memilih di mana dan bagaimana mereka membelanjakan wang mereka.
Walau bagaimanapun, dengan kebebasan ini datang tanggungjawab untuk membelanjakan wang dengan bijak dan menyimpannya. Ingatlah bahawa setiap keputusan ada akibatnya, baik atau buruk.
Beberapa perkara yang pelajar atau mahasiswa boleh lakukan iaitu dengan merancang perbelanjaan. Semak pendapatan dan kirakan gaji yang diperoleh.
Selepas mengetahui jumlah pendapatan terkumpul anda, anda boleh merancang pengagihan perbelanjaan seperti barangan runcit, sewa dan pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan seperti membeli buku dan peralatan pengajian.
Rekod semua kategori dan jumlah dalam buku nota, hamparan atau aplikasi belanjawan.
Ingatlah untuk mengetepikan sedikit wang untuk kecemasan dan simpan apabila mempunyai wang tambahan.
Seterusnya, mula menabung, jika anda seorang pelajar yang menerima geran atau biasiswa pelajar, simpan wang tambahan di bank, Tabun Haji atau Amanah Saham Bumiputra (ASB) atau lain-lain bentuk simpanan yang tidak berisiko.
Era digital, pelajar sudah mula melakukan kerja sambilan seperti berniaga secara dalam talian bagi menambah pendapatan, namun perlu diingatkan supaya tidak membebankan atau akhirnya mewujudkan perasaan bosan untuk belajar kerana telah pegang banyak wang.
Pendidikan tetap perlu diutamakan. Langkah mencari jalan bagi mengurangkan kos hidup semasa belajar adalah penting seperti buku rujukan tidak perlu sentiasa membeli yang baru, cari dalam talian untuk buku terpakai yang lebih murah serta juga boleh membeli e-buku dan membacanya dalam talian pada komputer riba atau telefon pintar.
Walaupun mahasiswa atau pelajar duduk di kampus isu yang paling dibelenggu pelajar adalah kos makanan adalah yang tertinggi dalam kehidupan kampus.
Jika anda tinggal di asrama atau rumah sewa bersama rakan-rakan, anda boleh menjimatkan wang dengan berkongsi makanan bersama.
Sebagai contoh, anda boleh memasak nasi di rumah dan membeli lauk secara pukal untuk dimakan bersama.
Kebanyakan pelajar yang menghadapi masalah kewangan adalah sama ada daripada keluarga diklasifikasikan sebagai B40. Keadaan menjadi lebih sukar apabila bilangan anak ditanggung oleh ramai ibu bapa.
Keadaan ini menunjukkan pelajar perlu bijak membelanjakan wang yang diperoleh untuk pelajaran, malah ada juga yang menggunakan wang tersebut untuk menyara keluarga.
Secara asasnya, kalau nak cakap duit memang tak habis-habis. Oleh itu, pelajar perlu bijak dan berdisiplin dalam membuat pertukaran pembelian antara kehendak dan keperluan sebenar mereka.
Jelas, pemberian bantuan pendidikan perlu diperkasakan. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini, kerajaan juga perlu menambah jumlah pembiayaan supaya pelajar mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung pengajian dan perbelanjaan setiap semester. – DagangNews.com