Beli barangan bantuan kemanusiaan dengan pemborong, bukan peruncit - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Beli barangan bantuan kemanusiaan dengan pemborong, bukan peruncit - KPDNHEP

,

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Badan-badan yang terlibat dengan bantuan kemanusiaan diharap tidak membuat pembelian barangan keperluan harian daripada peruncit.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pihaknya mencadangkan agar badan berkenaan mendapatkan bekalan barang keperluan daripada pihak pemborong.

 

"Kementerian telah mendapat maklumat bahawa beberapa barang keperluan seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula telah habis di sebuah peruncit di Seksyen 27 Shah Alam baru-baru ini akibat dibeli untuk tujuan bantuan kemanusiaan.

 

"Pembelian berlebihan itu telah menyebabkan pengguna di kawasan tersebut ‘terputus bekalan’ dan terpaksa membeli dari peruncit yang jauh sedikit atau menunggu sehingga bekalan baru sampai ke peruncit tersebut," jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Mengulas lanjut, KPDNHEP berkata, fenomena rak-rak kosong sesuatu barangan keperluan di sesebuah premis peruncit dibimbangi boleh membawa kepada reaksi negatif seperti pembelian panik dalam kalangan pengguna.

 

Susulan itu, kerjasama dari NGO dan Badan Bantuan Kemanusiaan amatlah diharapkan supaya tidak mewujudkan suasana yang tidak stabil akibat salah faham terhadap bekalan dan harga barang keperluan.

 

Pada masa sama, KPDNHEP turut menghargai sebarang bentuk bantuan oleh badan-badan kemanusian dan NGO yang memainkan peranan menyampaikan bantuan semasa pandemik COVID-19 dalam membantu mereka yang terkesan. - DagangNews.com