Beli perniagaan simen YTL berpotensi lonjak hasil MCement 3 kali ganda | DagangNews Skip to main content

Beli perniagaan simen YTL berpotensi lonjak hasil MCement 3 kali ganda

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Langkah Malayan Cement Berhad (MCement) untuk mengambil alih kepentingan 10 anak syarikat simen di bawah YTL Cement Berhad (YTL) berpotensi melonjakkan hasil syarikat sehingga tiga kali ganda menjelang tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Ramalan itu dibuat oleh penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely yang menjangkakan hasil MCement akan melonjak daripada RM1.5 bilion kepada RM4.5 bilion, berdasarkan sasaran pendapatan enam bulan pertama FY21 (6MFY21) syarikat sebanyak RM2.9 bilion.

 

“Analisis awal kami menunjukkan langkah ini secara keseluruhannya baik buat MCement dari segi keuntungan bersih (suntikan daripada operasi simen dan bancuhan siap YTL yang menguntungkan), perolehan sesaham (selepas mengambil kira pangkalan saham yang besar daripada kecairan penuh 10% tawaran persendirian, saham MCement baharu sebahagian daripada pembelian bukan tunai dan pertukaran ICPS), dan nilai buku selepas pengambilalihan yang besar,” jelas Sharizan dalam satu nota kajian hari ini.

 

MCement menerusi maklumannya di Bursa Malaysia pada 12 Mei lalu memberitahu, bahawa syarikat dan YTL yang merupakan syarikat induknya, telah menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih kepentingan ekuiti dalam perniagaan simen kumpulan, pada kadar RM5.16 bilion.

 

Sharizan yang positif terhadap langkah itu mengekalkan saranan ‘tambah’ saham MCement dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM3.26 sesaham. 

 

Senada itu, penganalisis di MIDF Research, Khoo Zhen Ye turut menyarankan untuk ‘beli’ saham MCement dengan TP yang ditingkatkan kepada RM3.18 daripada RM3.00. 

 

Bagi Zhen Ye, pengambilalihan berkenaan akan melonjakkan keuntungan syarikat yang akan dicapai menerusi rasionalisasi kos dan sinergi operasi.

 

“Kami juga tetap yakin terhadap lonjakan besar dalam prestasi kewangan kumpulan pada 6MFY21 yang menunjukkan pendapatan bersih berada di ambang tahap break-even.

 

“Oleh itu, kami berpendapat sinergi kos yang berterusan dan berkesan selain landasan pertumbuhan hasil yang stabil akan mendorong kepada prospek perolehan baik untuk syarikat bermula FY21 dan seterusnya,” jelas beliau.

 

Pengambilalihan yang dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun ini bakal menyaksikan pemegangan saham oleh YTL dalam MCement meningkat kepada 78.6% daripada 76.9%.

 

Seiring ramalan impak positif ke atas MCement, penganalisis di MIDF, Hafriz Hezry melihat langkah tersebut berpotensi untuk membuka nilai perniagaan YTL.

 

“Di YTL, walaupun perolehan jangka pendek mungkin diheret turun oleh unit hotel dan amanah pelaburan hartanah (REIT) yang masih lagi terjejas akibat pandemik, namun prospek bertambah baik dalam bahagian utiliti, pembinaan dan simen kumpulan. 

 

“Bahagian pembinaan dan simen kumpulan dijangka menerima manfaat daripada perkembangan dalam perbelanjaan infrastruktur dan pelancaran projek mega,” kata Hafriz menerusi nota kajian berbeza. 

 

Beliau menyarankan untuk ‘beli’ saham YTL dengan TP ditingkatkan kepada RM0.76 daripada RM0.70. 

 

Pengambilalihan ekuiti oleh MCement akan dilunaskan menerusi RM2 bilion berbentuk tunai dan selebihnya iaitu RM1.41 bilion menerusi terbitan 375.5 juta saham MCement baharu pada kadar RM3.75 sesaham dan RM1.75 bilion lagi menerusi terbitan ICPS sebanyak 466.7 juta, pada kadar sesaham yang sama. 

 

Ini sekali gus bakal menyaksikan pemegangan ekuiti secara tidak langsung oleh YTL dalam 10 anak syarikatnya akan berkurang daripada 100% kepada 78.6%, hasil gabungan ekuiti dalam MCement. - DagangNews.com