Beli tanah di Cheras, impak kewangan UEM Sunrise dijangka minimum  | DagangNews Skip to main content

Beli tanah di Cheras, impak kewangan UEM Sunrise dijangka minimum 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pengambilalihan sebidang tanah di Cheras dijangka mendatangkan impak yang terhad ke atas perolehan syarikat pemaju, UEM Sunrise Berhad dalam masa terdekat ini. 

 

Ini memandangkan pembangunan projek di atas tanah itu bakal dijalankan dalam dua fasa, yang bermula pada separuh kedua tahun 2022 (2H22), menurut penganalisis di MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng.

 

“Oleh itu, kami tidak membuat perubahan ke atas unjuran perolehan pada tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22. 

 

“Sementara itu, impak ke atas kunci kira-kira dijangka minimum selepas pengambilalihan tanah itu. 

 

“Kami menjangkakan penggearan bersih UEM Sunrise akan melonjak kepada 0.54x daripada 0.51x sekiranya syarikat membiayai pengambilalihan tanah itu menerusi pinjaman bank,” jelas Jze Tieng dalam satu nota kajian hari ini.

 

UEM Sunrise pada Jumaat lalu memberitahu anak syarikatnya, UEM Land Berhad telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) dengan Accolade Land Sdn. Bhd untuk membeli tanah yang berukuran 6.86 ekar, terletak bersebelahan Transit Aliran Massa (MRT) Taman Connaught. 

 

Baca : UEM Sunrise beli tanah 6.86 ekar bersebelahan MRT Taman Connaught 

 

Ini membabitkan nilai RM197 juta yang bertujuan membangunkan sebuah projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.

 

Jze Tieng bagaimanapun positif terhadap pengambilalihan berkenaan yang dilihat bakal meningkatkan kehadiran UEM Sunrise di Lembah Klang. 

 

MIDF kekal ‘neutral’ ke atas saham UEM Sunrise dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.42 sesaham. 

 

“Kami kekal ‘neutral’ ke atas UEM Sunrise kerana perolehannya dilihat lebih lemah pada masa terdekat ini dan lonjakan yang terhad,” tambah penganalisis itu. - DagangNews.com