Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Segmen hotel dan runcit kumpulan syarikat hartanah, KLCCP Stapled Group (KLCCP) sukar berada dalam landasan pemulihan dan pengukuhan selagi kes jangkitan COVID-19 terus meningkat.
Ini sekali gus mengheret hasil tahun kewangan 2020 (FY20) KLCCP jatuh 13% tahun ke tahun akibat pelbagai impak sekatan pergerakan, termasuk RM93.7 juta kerugian daripada bantuan sewa atau rebat.
Hasil yang lemah itu disebabkan oleh kehadiran pengunjung dan jualan sewa yang lemah di Suria KLCC selain kadar penghunian meruncing di Mandarin Oriental Kuala Lumpur (MOKL).
MIDF Research menjangkakan prospek bagi bahagian runcit kumpulan syarikat itu akan kekal mencabar pada suku pertama tahun kewangan semasa (1Q21) susulan pelaksanaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
“Trafik pengunjung yang membeli-belah dijangka kekal rendah kerana terdapatnya sekatan perjalanan rentas negeri dan kes COVID-19 yang kian meningkat di Malaysia di mana mendorong pengendali pusat beli-belah untuk menawarkan bantuan sewa kepada penyewa.
“Sama seperti bahagian hotel yang dijangka kekal suram pada FY21 kerana sempadan negara masih ditutup.
“Oleh itu, kami menjangkakan bahagian hotel akan terus rugi pada FY21,” ramal MIDF dalam nota kajiannya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi bahagian runcit lebih rendah pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) iaitu RM64.9 juta, menjunam -13.3% bulan ke bulan kerana kekurangan pengunjung.
Bahagian hotel juga mencatatkan kerugian selepas cukai yang tinggi, -RM18 juta pada suku kewangan sama berbanding -RM16.3 juta pada 3Q20 akibat sekatan perjalanan rentas negeri.
MIDF mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap saham KLCCP dengan harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM7.02.
Dalam nota kajian berbeza, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham KLCCP kerana firma penyelidik itu masih mengambil pendekatan berhati-hati terhadap pemulihan industri hotel yang akan menjejaskan lonjakan operasi MOKL.
“Risiko peningkatan adalah pemulihan bagi bahagian runcit dan hotel selain pelancaran vaksin COVID-19 yang berjaya pada Mac.
“Risiko penurunan pula lanjutan pelaksanaan PKP 2.0, kerugian lebih besar dicatatkan oleh segmen hotel KLCCP (MOKL) dan pembalikan negatif bagi pajakan yang akan berakhir pada tahun 2021 (33% daripada jumlah pajakan) berbanding pembalikan sewa yang mendatar bagi FY20,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com