Awas keghairahan terhadap pusat data, Maybank IB ingatkan apa berlaku pada gelembung IT lewat 90-an - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Awas keghairahan terhadap pusat data, Maybank IB ingatkan apa berlaku pada gelembung IT lewat 90-an - Maybank IB

Pusat data yang dilanggan sepenuhnya juga memerlukan tempoh dua tahun untuk pulang modal, kata Maybank IB. - Gambar engineering.fb.com
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meningatkan mengenai persamaan yang meresahkan antara gelombang dot-com atau teknologi malumat (IT) pada akhir tahun 90-an dengan keghairahan berhubung kait perusahaan pusat data (DC).

 

Menurut firma penyelidikan itu, lewat 90-an telah menyaksikan pelbagai jenis syarikat berlumba-lumba menyertai gelombang dotcom sebelum gelembung itu pecah pada tahun 2000 akibat bebanan perbelanjaan modal yang tidak mampan dan struktur model perniagaan yang tidak menguntungkan.

 

"Seiring peningkatan syarikat tersenarai mengumumkan usaha pusat data (DC) - hanya dalam tempoh 10 hari yang lalu telah melihat pengumuman projek berkaitan DC oleh Sime Darby Property, Mah Sing dan UEM Sunrise - pelabur yang sudah lama berkecimpung dalam pasaran seperti saya akan diingatkan akan persamaan meresahkan dengan gelembung (bubble) dot-com pada akhir tahun 90-an.

 

"Pelbagai syarikat ketika itu 'terjun' kepada perniagaan internet / dotcom sebelum gelembung meletup pada tahun 2000 akibat bebanan belanja modal (capex) yang tidak boleh diterima dan struktur model perniagaan yang tidak menguntungkan," katanya dalam nota penyelidikan bertajuk Beware The Bandwagon.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sarawak, Kedah berpotensi jadi lokasi alternatif pusat data di Malaysia - RHB Investment

 

Sementara itu, Maybank IB turut menggunakan analogi Inggeris mengenai sejarah tidak berulang tetapi mempunyai irama yang sama yang merujuk kepada peristiwa yang serupa pada dasarnya boleh terjadi lagi walaupun butiran dan keadaannya berubah.

 

Katanya, kenaikan harga saham secara eksponensial (+370% YoY) untuk barisan hadapan infrastruktur pusat data kecerdasan buatan (DC/AI) YTL Power merupakan satu mercu tanda yang menarik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: YTL Power guna superkomputer AI termaju Nvidia di pusat data Johor

 

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu menggesa pelabur memberi perhatian bahawa sesebuah DC yang dilanggan sepenuhnya sekalipun memerlukan tempoh dua hingga tiga tahun untuk pulang modal.

 

"Ini memandangkan terdapat kos fasiliti yang perlu diambil kira di samping peningkatan kos operasi dari semasa ke semasa," jelas Maybank IB.

 

 

data center

 

 

Selain itu, katanya, walaupun permintaan komputasi AI semakin pesat meningkat namun pembangunan dan penerimaannya di negara-negara yang masih dalam fasa permulaan seperti Malaysia mungkin perlahan, terutamanya apabila peraturan berkaitan dengan tadbir urus dan aliran data perlu diluluskan.

 

Oleh itu, jelas Maybank IB, terdapat kemungkinan peningkatan beransur-ansur yang bermakna cabaran pengkomersialan dalam tahun-tahun awal. 

 

"Selain itu, landskap pusat data menjadi sangat kompetitif dengan cepat dan masih perlu dilihat sama ada pelaksanaan tempatan untuk gergasi awan seperti Microsoft, AWS dan terbaharu, Google akan menjadi pelanggan atau pesaing peserta domestik.

 

"Untuk masa ini, proksi yang disukai untuk gelombang pusat data nampaknya adalah kontraktor dengan Gamuda sebagai pilihan utama baru-baru ini mendapatkan kontrak pembinaan dan pemasangan DC bernilai RM1.7 bilion, Sunway Construction sudah melaksanakan pelbagai kerja pembinaan DC dan rakan sektor seperti IJM dan Kerjaya Prospek aktif membuat bidaan," ujarnya.

 

Kata Maybank IB, pelabur yang tidak selesa dengan dinamik keuntungan DC/ AI yang masih samar boleh kembali kepada pemain teknologi yang telah mapan yang, berdasarkan laporan 1Q24, secara amnya dalam keadaan yang sihat.

 

 

iktisad

 

 

"Di antara pilihan utama kami, inisiatif baru SAM Engineering yang telah melebihi jangkaan, dengan ramalan FY25/26E dinaikkan sebanyak 14%/5% untuk mencerminkan pendapatan penerbangan yang kukuh serta margin PBT yang lebih tinggi bagi kedua-dua segmen aero angkasa dan peralatan pengeluaran.

 

"Buku pesanan pakar automasi Greatech berjumlah RM1.01 bilion pada akhir Mei dengan prospek pertumbuhan yang cerah kerana pelanggan solar dan e-mobiliti utama di Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai penerima manfaat perang dagang utama berkaitan dengan tarif terkini AS terhadap import dari China," katanya.- DagangNews.com