Sarawak, Kedah berpotensi jadi lokasi alternatif pusat data di Malaysia - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sarawak, Kedah berpotensi jadi lokasi alternatif pusat data di Malaysia - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Jun - Sarawak dan Kedah merupakan lokasi alternatif bagi kawasan pembinaan pusat data di negara ini, kata RHB Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata, seandainya Cyberjaya dan Johor yang terlebih dahulu bertapak dalam sektor pusat data telah penuh, maka Kedah dan Sarawak adalah kawasan lain yang dilihat berpotensi.

 

"Johor dan Cyberjaya dianggap sebagai "terlebih dahulu bertapak" (establihed) mengikut Cushman & Wakefield’s Asia-Pacific Data Center Maturity Index. 

 

"Oleh itu, lokasi alternatif iaitu Sarawak (di tengah-tengah pelaburan pusat data Singapura sebagai balasan untuk jualan tenaga) dan Kedah (Zon Pembangunan Ekonomi Khas Sempadan Delapan, dekat Bukit Kayu Hitam).

 

"Kedua-duanya boleh berfungsi sebagai kawasan-kawasan pusat data alternatif jika Johor dan Cyberjaya sudah penuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sarawak eksport tenaga hijau ke Singapura sebagai balasan untuk pelaburan pusat data – Abang Johari

 

Tambah RHB Investment, pasaran pusat data domestik diramalkan berkembang pada CAGR 6 tahun (2023-2029) sebanyak 13.9% daripada AS$1.8 bilion (RM8.45 bilion) pada 2023 kepada AS$4 bilion (RM18.8 bilion) menjelang 2029.

 

Kata firma penyelidikan itu, pada tahun 2023, kos pembinaan pusat data Malaysia berada dalam julat AS$6.7-10 juta/MW (RM31.47-RM33 juta/MW), menjadikannya lebih berpatutan jika dibandingkan dengan Singapura dan Indonesia, khususnya Jakarta. 

 

"Dengan sebanyak 1,400MW dilaporkan dirancang untuk dibina di sini dalam tempoh 5-10 tahun akan datang, kos yang dijangkakan untuk membina (atau nilai pekerjaan dari perspektif kontraktor) mungkin dengan mudah mencecah antara RM40 bilion dan RM60 bilionn secara keseluruhan.

 

"Pada penelitian lanjut, sistem elektrik membentuk sebahagian besar struktur kos DC pada 40-45%," ujarnya.

 

Kata RHB Investment, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan pelbagai perkembangan dari segi pusat data baharu terutamanya yang mempunyai kapasiti melebihi 40MW sedang dirancang untuk dibangunkan di pelbagai kawasan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: TP Mah Sing dinaikkan RM2 sesaham susulan pelaburan dalam pusat data - RHB Investment

 

Kata firma penyelidikan itu, aliran berita sebegini membuktikan pasaran Malaysia sangat rancak untuk menarik pembinaan pusat data yang seterusnya memberi manfaat kepada sektor pembinaan.

 

Menurutnya, kontraktor dengan pengkhususan tertentu, contohnya keupayaan sistem bangunan perindustrian (IBS) (iaitu Gamuda), bersedia untuk mendapat manfaat daripada prospek pertumbuhan pusat data dalam jangka panjang.

 

"Dengan lebih banyak kontraktor menceburi pasaran pembinaan pusat data – pemain harus membangunkan pengkhususan masing-masing dalam rantaian bekalan pusat data, contohnya Gamuda meletakkan dirinya sebagai pembina pusat data yang cekap melalui kepakaran IBS.

 

"Ia menyelesaikan tugas pusat data pertamanya untuk Pusat Data AIMS (8MW) dalam masa lapan bulan berbanding 13 bulan yang dijangkakan," jelasnya.

 

Pilihan utama untuk permainan pembinaan DC termasuk Gamuda dan Sunway Construction, yang telah memperoleh sejumlah sekurang-kurangnya RM2 bilion kontrak DC.

 

"IJM Corp juga penting untuk disebut yang telah terlibat dalam menyediakan cerucuk industri untuk pusat data dan mempunyai kontrak pusat data di dalam buku tendernya," katanya. - DagangNews.com