Berjaya Corp jalin kerjasama strategik bersama 2 firma China teroka teknologi rumah pintar, NEV | DagangNews Skip to main content

Berjaya Corp jalin kerjasama strategik bersama 2 firma China teroka teknologi rumah pintar, NEV

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Berjaya Corporation Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama dua firma China iaitu Skyworth Group Co Ltd dan Skywell New Energy Automobile Group Co Ltd bagi meneroka serta membangunkan inovasi teknologi rumah pintar dan kenderaan tenaga baharu (NEV).

 

Skyworth, yang terkenal dengan kepakarannya dalam peralatan dan teknologi rumah pintar, dan Skywell, pengeluar NEV, akan bergabung tenaga dengan Berjaya bagi memajukan sistem dan rumusan dalam bidang itu.

 

Langkah itu menekankan komitmen kumpulan dalam memanfaatkan teknologi termaju dan meningkatkan kehadirannya dalam sektor rumah pintar dan NEV menerusi perkongsian antarabangsa.

 

Dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, Berjaya Corp bersedia untuk menggunakan rangkaian pengedaran Skyworth yang meluas bagi meningkatkan capaian peralatan serta sistem rumah pintar di seluruh Malaysia.

 

Penerokaan kerjasama strategik juga akan diletakkan pada pembangunan dan pelaksanaan rumusan tenaga hijau, seperti sistem solar fotovoltaik (PV) kediaman, komersial dan perindustrian, sejajar dengan matlamat kemampanan kumpulan serta menyumbang kepada masa depan yang lebih mesra alam untuk Malaysia.

 

Menerusi kerjasama kedua, Berjaya Eco-Drive Sdn Bhd, anak syarikat Berjaya Corp, bergabung tenaga dengan Skywell bagi menjadikan ia sebagai jenama NEV terkemuka di Malaysia dan ASEAN, memangkin pertumbuhan NEV di seluruh rantau ini.

 

Pengasas dan penasihat Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan berkata, kerjasama strategik dengan Skyworth dan Skywell menyediakan prospek transformatif, bersedia untuk merevolusikan pelbagai sektor di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran kolektif kami dan memanfaatkan kekuatan serantau, kami berdiri di barisan hadapan untuk memangkin inovasi, memupuk pembangunan mampan ke arah masa depan yang lebih makmur untuk seluruh wilayah," katanya dalam atu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sementara itu, pengasas Skyworth dan Skywell, Stephen Wong, berkata beliau percaya usaha bersama dan kerjasama kedua-dua pihak akan mencapai faedah bersama dan objektif menang-menang.

 

Beliau berkata, ia akan mengukuhkan latihan bakat dan menguatkan rantaian industri, produktiviti baharu serta mewujudkan projek penting untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Malaysia.

 

"Kami juga berharap untuk terus menggalakkan pertukaran dan kerjasama antara China dan Malaysia dalam bidang ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi, dan budaya melalui kerjasama ini, serta menyuntik dorongan baharu ke dalam perumusan perkongsian strategik yang komprehensif antara kedua-dua negara," katanya. - DagangNews.com