Berjaya Food catat kerugian bersih RM91.5 juta pada FY24 disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbuck | DagangNews Skip to main content

Berjaya Food catat kerugian bersih RM91.5 juta pada FY24 disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbuck

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Berjaya Food Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.5 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) berbanding untung bersih RM103.4 juta pada tahun sebelumnya disebabkan sentimen orang ramai berhubung konflik di Asia Barat.

 

Hasil kumpulan bagi tempoh itu berkenaan juga menyusut kepada RM730.3 juta berbanding RM1.11 bilion pada FY23.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM38.2 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) berbanding untung bersih RM17.3 juta pada tahun lalu dan hasil bagi suku semasa juga menyusut kepada RM130.6 juta berbanding RM271.7 juta pada 4QFY23.

 

 

"Kemerosotan dalam hasil dan kerugian bagi FY24 disebabkan kerugian sekali sahaja yang timbul daripada pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Jollibean Foods Pte Ltd selain sentimen orang ramai berhubung konflik di Asia Barat," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, lembaga pengarah mengiktiraf keadaan pasaran yang mencabar dan tekanan luaran yang menjejaskan prestasi perniagaan.

 

Katanya, di sebalik kesukaran itu, Berjaya Food tetap optimis dengan berhati-hati menjangkakan peningkatan beransur-ansur dalam prestasi operasi sepanjang tahun kewangan akan datang.

 

"Walaupun pemulihan mungkin perlahan disebabkan ketidaktentuan semasa yang berterusan, lembaga pengarah percaya bahawa pelarasan strategik dan penambahbaikan operasi akan, pada masanya, mengukuhkan kedudukan kumpulan dan membawa kepada keputusan kewangan yang lebih baik," katanya.- DagangNews.com