Berjaya Land lancar Jesselton Courtyard, projek kediaman mewah di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Berjaya Land lancar Jesselton Courtyard, projek kediaman mewah di Pulau Pinang

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Berjaya Land Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Berjaya Hartanah Bhd melancarkan projek peumahan mewah, Jesselton Courtyard di Jesselton Selatan, Pulau Pinang. 

 

Berjaya Land berkata, lokasi strategik Jesselton Courtyard memberi akses kepada sekolah-sekolah berprestij, restoran, pusat beli-belah dan kemudahan penjagaan kesihatan.

 

Katanya, projek tersebut melibatan pembinaan 239 buah kediaman di atas tanah seluas 11.908 hektar melibatkan 32 unit rumah courtyard dan 207 buah courtyard vila.

 

Rumah courtyard atau rumah halaman empat tingkat yang berkeluasan dari 6,649 kaki persegi dijual pada Harga bermula RM6.5 juta. 

 

Selain itu, unit vila satu setengah atau dua tingkat pula bernilai RM2.9 juta yang luasnya, 2,734 kaki persegi.

 

Jesselton Courtyard juga merupakan komuniti berpagar dan berkawal, memastikan penduduknya memanfaatkan pengalaman berkepadatan rendah yang selamat. 

 

“Kami mengambil ilham warisan Georgetown yang menggunakan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi dalam penciptaan reka bentuk inovatif rumah halaman.

 

“Reka bentuk pembangunan kami mengekalkan budaya seni bina Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan bangunan hijau, menekankan komitmen terhadap kemampanan,” kata kenyataan Berjaya Land. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Bhd, Syed Ali Shahul Hameed berkata, pembangunan itu memberi peluang kepada pelabur membeli hartanah yang membawa untung. 

 

“Oleh kerana pembangunan itu menekankan aspek gaya hidup berprestij, ia bakal menaikkan nilai jangka panjang hartanah sekaligus menjaminkan pulangan kepada pelabur," katanya dalam kenyataan media hari ini. 

 

Syarikat itu berkata, selain daripada jaminan gaya hidup mewah, pembangunan itu dibina untuk kehidupan berbilang generasi, menampilkan konsep dua kunci, memperkenalkan ruang berkumpul bersama dan menawarkan bilik tidur ensuite peribadi. 

 

“Setiap unit menawarkan tempat letak kereta untuk empat hingga tujuh kenderaan, memenuhi keutamaan rakyat Malaysia untuk memiliki pelbagai kenderaan,” kata beliau. 

 

Jesselton Courtyard komited mencapai pembangunan kualiti yang direka dengan teliti bagi mencipta persekitaran hidup yang unggul dan mempersembahkan peluang pelaburan yang utama.

 

Berjaya Land Development menjemput orang ramai untuk melawat ruang pameran mereka yang akan datang di Gurney Plaza mulai 17 hingga 21 Julai 2024 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Jesselton Courtyard dan menerima maklumat terperinci mengenai pembangunan ini.

 

Selain itu, orang ramai juga dijemput untuk melawat Berjaya Property Gallery Penang selepas jelajah atau melayari laman web mereka di www.jesseltoncourtyard.com untuk maklumat lanjut.- DagangNews.com