KUALA LUMPUR 6 Okt - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyangkal dakwaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung penularan berita palsu di media sosial bahawa terdapat campuran beras plastik di dalam produk Bernas.
Bernas memaklumkan, pihaknya sentiasa memastikan tahap pematuhan piawaian tinggi dan pemantauan kualiti yang ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import dan tempatan.
Katanya, semua jenis beras import yang dibawa masuk ke dalam negara perlu melalui syarat ketat dan proses pemeriksaan kualiti yang rapi bermula di negara pembekal sehinggalah sampai ke negara ini.
"Bekalan beras yang dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"Ini bertujuan bagi mencegah sebarang bentuk penyelewengan yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Justeru, berhubung dakwaan wujudnya ‘beras plastik’ di pasaran tempatan, Bernas memberi jaminan bahawa beras import yang dibekalkan pihaknya adalah tulen dan selamat untuk penggunaan orang ramai.
"Bernas ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak mempercayai berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Katanya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur-unsur yang mencurigakan ke atas produk beras Bernas yang dibeli, emelkan aduan rasmi di [email protected].
"Pihak Bernas tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan reputasi kami," katanya. - DagangNews.com