Bersatu hati bela perjuangan rakyat Palestin | DagangNews Skip to main content

Bersatu hati bela perjuangan rakyat Palestin

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

PADA bulan Ramadan pada tahun 2010 saya pergi ke Gaza, Palestin bersama MAPIM melalui kerjasama pelbagai NGO dan sokongan dari Kerajaan Negeri Selangor khususnya yang bangkit merealisasikan program Ramadan Di Gaza (Ramadan March For Freedom).

 

Bertujuan untuk mengumpul maklumat dan membuat dokumentasi yang berkaitan untuk tujuan mengenal pasti bantuan dan keperluan di Gaza. Selain menghulurkan bantuan makanan dan perubatan yang sewajarnya kepada penduduk Gaza yang memerlukan.

 

Misi ini  disertai oleh 45 orang delegasi termasuk kalangan bukan Islam. Sesungguhnya membawa ingatan dan kenangan tidak terlupakan. Sempat berjumpa ramai kanak-kanak dan pergi ke sekolah yang baru di bom oleh Israel.

 

Airmata menitis dengan kemesraan kanak-kanak Palestin walau tiada lagi sekolah tempat belajar untuk mencari ilmu pengetahuan. Kanak-kanak Palestin tidak menangis kerana telah biasa dengan penderitaan oleh kekejaman Israel. Hanya saya menangis teresak-esak.

 

 

parafrasa
Satu lagi bangunan di Gaza dibedil oleh tentera rejim Zionis Israel yang membalas serangan Hamas

 

 

Suara kanak-kanak Palestin di Gaza, diambil dari dunia ini oleh Israel — “satu-satunya demokrasi di Timur Tengah”.

 

Ketika kelucahan ngeri serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza berterusan, angka kematian meningkat. Kanak-kanak Palestin membayar harga yang paling tinggi, baik mereka yang terbunuh dan cedera.

 

Memandangkan saya telah menulis tentang bagaimana pendudukan tentera Israel yang berpanjangan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang tidak berkesudahan - apatah lagi mereka secara terang-terangan mengabaikan kepentingan diri mereka sendiri akan membawa kita ke tahap ini.

 

Kemudian pada 7 Oktober 2023, Hamas, melakukan serangan berani terhadap Israel dengan tiba-tiba. Hamas berjaya membunuh ratusan askar Israel dan menculik pulohan yang lain dengan menghancurkan aset-aset Israel termasuk pengkalan tentera dan balai polis.

 

Manakala rejim Zionis Israel bertindak balas dengan mengebom Gaza dan meragut lebih dari 300 nyawa warga Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita. Banyak bangunan, rumah dan pejabat hancur musnah dan penduduk Gaza terperangkap.

 

Saya memikirkan adakah Hamas mencari pasal Israel untuk terus menyerang?

 

Saya bukan cetek, kurang pengetahuan dan buta sejarah Arab.

 

Perlu diingat, Israel sebenarnya adalah sebuah negara haram di atas bumi Palestin. Kewujudan Israel pada tahun 1948 merupakan kesan dari tindakan golongan Yahudi Zionis yang telah datang dari Eropah pada awal kurun ke-20. Seterusnya telah melakukan tindakan penghapusan etnik yang melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai  dan penghalauan penduduk Palestin. 

 

 

palestin

 

 

Lebih 700,000 penduduk Palestin telah menjadi pelarian dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air sehingga sekarang. Kumpulan penjenayah Zionis terus mengganas dan pada tahun 1967 telah merampas Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis, termasuk termasuk Masjid Al Aqsa.

 

Israel terus membuka penempatan untuk orang Yahudi sahaja di atas bumi yang dirampas walau tidak diiktiraf dunia. Banyak kebun-kebun khurma warga Palestin dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis dengan bantuan tentera Israel seperti yang saya lawat.

 

Kuasa penuh tentera Israel di banyak kawasan Tebing Barat membenarkan untuk mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalan raya.  Dihalang dan disekat dari bergerak bebas tidak kira untuk pergi bekerja, mengusahakan kebun, bersiar, untuk ke sekolah, hospital mahupun melawat ahli keluarga dan sanak saudara.

 

Benjamin Netanyahu diangkat sekali lagi sebagai perdana menteri pada bulan Disember 2022 dengan sokongan puak-puak pelampau Zionis. Agenda Israel terdedah untuk memastikan kesemua wilayah Palestin di bawah kawalan dan perintah. Ramai Palestin di Tebing Barat yang dihalau keluar dan tanah mereka diambil alih oleh peneroka-peneroka haram Yahudi.

 

Ada pemimpin Israel mendedahkan rancangan untuk merobohkan masjid Al Aqsa dan digantikan dengan sebuah synanogue Yahudi yang dipanggil Haikal Sulaiman.

 

Seakan penjara, Semenanjung Gaza terus dikepung supaya penduduk berjumlah lebih dari 2 juta akur dengan kehendak Israel dengan tidak menentang langsung. Ternyata hak asasi warga Palestin dicabul dan dikhianati sehingga menjadi milik Israel dengan Palestin dihapuskan.


 

irsyad
Dinding pemisah didirikan rejim Zionis untuk kawal keselamatan penempatan haram mereka di bumi Palestin.

 

 

Apa pilihan yang ada untuk Palestin? Membiarkan Israel sebebasnya dan berpindah ke negara lain. Tidak mungkin warga Palestin mahu dihinakan dan lenyap identiti. Namun maruah dan semangat jati diri yang tinggi, tidak akan tunduk, mencabul hak asasi dan menghina Masjid Al Aqsa.

 

Hamas berlainan dengan kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas yang telah bersetuju untuk menjadi budak suruhan. Dari kewujudannya pada tahun 1980an, Hamas menolak tekanan dari semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah. Hamas menentang penjajahan dengan apa cara sekali pun, terutama dengan cara ketenteraan.

 

Perjuangan Hamas dianggap oleh kebanyakan ulamak muktabar sebagai perjuangan jihad yang sah dan terpuji dan kalau terbunuh dalam perjuangan dianggap syahid.  Namun Israel masih terus melakukan jenayah-jenayah dan Hamas telah tidak mempunyai pilihan.

 

Hamas menyerang rejim Zionis Israel dengan menggunakan roket yang di buat sendiri melalui laut dan udara dan melakukan serangan berani mati. Israel menyerang balas dengan ganas dan ramai ahli Hamas terkorban namun satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

 

Tanggungjawab mempertahankan diri sungguh mulia dan tidak boleh dikorbankan.  Biarpun terus sengsara namun bukan pilihan. Kezaliman Zionis Israel dilakukan dengan bantuan kuasa-kuasa barat seperti Amerika Syarikat. Sementara masyarakat dunia terutama umat Islam hanya terus menonton dan tidak berbuat apa-apa sejak Palestin di jajah.

 

Tentunya kanak-kanak akan terus terkorban sebagai mangsa kekejaman Israel menyerang balas. Israel akan bertindak ganas dengan tidak menghiraukan siapa. Israel dengan bantuan Barat sedaya upaya menghapuskan Palestin di muka bumi, namun hanya kuasa Allah yang Maha Mengetahui.

 

Seorang penghuni Gaza sahabat saya yang baik sewaktu saya balik berpesan, “Dunia tidak akan aman tanpa keamanan di Palestin.”

 

 

parafrasa

 

 

Dalam air mata saya terus mengalir, selama dua minggu saya asyik menangis di Gaza.

 

Apakah reaksi sebagai orang yang bersyahadah dan mengaku Islam terhadap jenayah zalim yang sedang berlaku di hadapan mata sekarang dan terus berlaku? Bertanyalah diri sendiri sama ada mahu menjadi penonton yang pasif hanya mengucapkan kesedihan atau ingin menjadi pembela?

 

Saya ingin menjadi pembela walau seorang OKU yang menghadapi kesukaran, kerana mu Palestin. - DagangNews.com