Betamek, Shenzen Zhonghong Technology labur RM8.8 juta teroka pasaran automotif Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Betamek, Shenzen Zhonghong Technology labur RM8.8 juta teroka pasaran automotif Asia Tenggara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac - Betamek Berhad, melalui anak syarikatnya, Betamek Research Sdn Bhd (BRSB) telah memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan Shenzen Zhonghong Technology Co., Ltd (SZH) untuk meneroka pasaran automotif di Asia Tenggara dengan komitmen pelaburan sehingga RM8.8 juta

 

Kedua-dua syarikat terbabit akan bekerjasama dan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk reka bentuk, pembangunan, penyesuaian, pengkomersialan, pemasaran dan penjualan rumusan produk elektronik dan teknologi inovatif bagi pasaran kenderaan elektrik dan automotif di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

 

Perjanjian itu adalah susulan daripada pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) pada 15 Jun 2023 dan kini, kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat untuk membangunkan sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) dan rumusan kokpit pintar dengan meneroka pasaran ASEAN.

 

BRSB diperbadankan pada September lalu dan terlibat dalam perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan, rumusan kenderaan elektrik (EV), pembangunan produk dan pengkomersialan.

 

SZH pula terlibat dalam R&D serta inovasi perisian produk elektronik automotif dan teknologi perkakasan yang menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pengguna merentasi keseluruhan kitaran hayat produk.

 

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk membentuk syarikat baharu yang memberikan kedua-dua syarikat potensi untuk mengakses pasaran sasaran baharu.

 

"Ini juga membuka peluang kepada mereka untuk memulakan usaha niaga baharu dan membolehkan mereka mempelbagaikan prospek perniagaan dalam bidang elektronik dan teknologi," kata Betamek dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Usaha ini menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha menyediakan rangkaian idea dan produk yang komprehensif dan pelbagai untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan ASEAN yang semakin berkembang. 

 

Dengan kerjasama ini, Betamek berpotensi mendapat manfaat daripada pengetahuan SZH, yang menyediakan kluster digital, sistem AVNT (Audio, Video, Navigasi, Telematik) dan rumusan kokpit pintar. 

 

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, kerjasama tersebut adalah komitmen kepada masa depan berteknologi tinggi dan mendorong mereka untuk berada di barisan hadapan dalam industri elektronik automotif.

 

“EV di Malaysia masih di peringkat awal, tetapi pencapaian transformatif ini melonjakkan kami ke hadapan. Misi kami dalam beberapa dekad untuk menjadi pakar teknologi automotif terkemuka di ASEAN dan lebih daripada itu, serta didorong oleh inovasi,” tambahnya.  - DagangNews.com