KMDI Harta Berhad sasar jana RM200 juta melalui terbitan saham keutamaan boleh tebus | DagangNews Skip to main content

KMDI Harta Berhad sasar jana RM200 juta melalui terbitan saham keutamaan boleh tebus

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 4 Dis - KMDI Harta Berhad mengumumkan rancangan untuk mengumpul sehingga RM200 juta dengan menerbitkan saham keutamaan boleh tebus kepada orang ramai.

 

Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata pihaknya yakin dapat mencapai matlamat pengumpulan dana sebelum suku ketiga 2025.

 

Menurutnya lagi, selaras dengan kelulusan pindaan perlembagaannya oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ia boleh menawarkan saham keutamaan kepada mereka yang berminat.

 

Mematuhi keperluan kawal selia di bawah Seksyen 229 dan 230 Akta Pemasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA) 2007 (Akta 671), syarikat itu telah menyerahkan Memorandum Maklumat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Ini, katanya akan membolehkan KMDI menawarkan saham keutamaan boleh tebus kepada pelabur yang layak dan dibenarkan untuk mengembangkan modal sedia ada dan pelan strategik pelaburan dalam merancang pertumbuhan dan pembangunan perniagaan.

 

Memorandum itu bertujuan memberi penjelasan dan maklumat mengenai pelaburan, strategi pelaburan terkini, serta potensi pulangan yang menarik kepada individu atau korporat yang berminat untuk bekerjasama dengan KMDI dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

 

KMDI Harta Berhad

 

 

“KMDI yakin perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah merupakan perniagaan yang mampu memberikan pulangan tanpa risiko kepada pelabur untuk menikmati hasil pelaburan mereka.

 

"Buat masa ini, nilai pembangunan kasar projek KMDI berjumlah RM400 juta," katanya dalam kenyataan itu.

 

KDMI berkata ia memilih untuk bekerjasama dengan "CL Finance Advisor" untuk mendapatkan perkhidmatan sebagai penasihat korporat kewangan bagi memastikan perjalanan pelaburan yang sistematik dan dinamik.

 

Ia berkata ia juga optimis untuk mencari peluang untuk berkongsi dengan individu atau korporat yang berminat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

Sementara itu, pengarah komunikasi korporat Kumpulan KMDI, Ahmad Mazhar Abdul Aziz berkata KDMI berazam untuk menyenaraikan di Bursa Malaysia dan mengeluarkan tawaran awam permulaan dan "sukuk" dalam masa terdekat. - DagangNews.com