KUALA LUMPUR 23 Nov - BHIC AeroServices Sdn. Bhd. (BHICAS), syarikat usaha sama Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC) memainkan peranan penting dalam ekosistem sektor aeroangkasa Malaysia dan sumbangan terhadap pertumbuhan sektor itu dijangka terus meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif BHICAS, Datuk Tuan Mustapha Tuan Hussin berkata, syarikat berada dalam kedudukan tepat untuk memanfaatkan peningkatan permintaan antarabangsa bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa.
Katanya, ini termasuklah menyumbang kepada agenda negara bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju bidang itu di Asia Tenggara serta menjadi elemen penting dalam pasaran global menjelang 2030 sebagaimana disasarkan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
"Bersandarkan kecemerlangan kemudahan dan pengalaman selain tenaga kerja mahir, BHICAS dijangka dapat mengembangkan kedudukannya di sektor aeroangkasa bagi meliputi MRO untuk sayap jenis tetap dan berputar," katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.
Beliau memberitahu, syarikat turut mewujudkan Nilai Kredit Program Kerjasama Industri (ICP) bernilai RM132 juta di bawah program vendor dan rantaian bekalan kendaliannya.
Katanya, ICP tersebut merangkumi pakej-pakej kerja subkontrak yang ditawarkan untuk syarikat-syarikat tempatan.
“Program tersebut menyasarkan untuk menjana perniagaan, peluang pekerjaan dan membangunkan pengetahuan serta kemahiran untuk kalangan subkontraktor, syarikat dan vendor dalam industri aeroangkasa dan pertahanan selain dapat mengurangkan aliran pertukaran asing,” katanya.
Program lain di bawah ICP pula bertujuan mewujudkan pembangunan pekerjaan dan kecekapan dengan nilai tambah tinggi untuk menyokong kemampuan dalam aspek penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan.
Kejayaan program ini dapat diukur menerusi Nilai Kredit ICP bernilai RM24.6 juta yang diwujudkannya.
Di samping itu, BHICAS turut menjalin kerjasama dengan penggiat industri aeroangkasa global seperti Airbus Helicopters yang mempunyai kepentingan dalam syarikat menerusi Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd (AHM). - DagangNews.com