Biasiswa Khazanah untuk lepasan SPM dibuka sehingga 5 Jun 2024    | DagangNews Skip to main content

Biasiswa Khazanah untuk lepasan SPM dibuka sehingga 5 Jun 2024   

Penerima Biasiswa Khazanah di Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2023, menampilkan belia Malaysia yang cemerlang daripada pelbagai latar belakang.

PELAJAR lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijemput untuk memohon program Biasiswa Khazanah oleh Yayasan Khazanah, di mana permohonan untuk Biasiswa Khazanah Global (A-Level), Khazanah Watan (Asasi) dan Wakalah PayNet-Yayasan Khazanah (Asasi) dibuka sehingga 5 Jun 2024. 

 

Yayasan Khazanah, yang merupakan rakan strategik Yayasan Hasanah, telah diamanahkan untuk memupuk dan menyokong individu luar biasa yang akan memangku peranan kepimpinan dalam organisasi terkemuka negara, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia.

 

Program biasiswa Khazanah bukan sahaja menawarkan pembiayaan untuk perbelanjaan pendidikan tetapi juga mengasah pembangunan diri khususnya dalam bidang kepimpinan.  

 

 

Pada tahun 2023, Yayasan Khazanah telah menganugerahkan 115 biasiswa kepada para individu luar biasa di Malaysia serta 200 geran pengajian untuk pelajar sekolah menengah.

 

Justeru, ia menjadikan jumlah keseluruhan Biasiswa Khazanah yang dianugerahkan sebanyak 1,495 sejak 2006. 

 

 

Yayasan Khazanah

 

 

Para pemohon mesti memiliki kemahiran kepimpinan yang kukuh dan penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum, sosial atau sukarela, di samping mempunyai rekod pencapaian akademik yang konsisten dan cemerlang.

 

Pemohon yang berminat dijemput untuk memohon program-program biasiswa berikut sehingga 5 Jun 2024. Untuk maklumat lanjut tentang kriteria kelayakan dan memohon Biasiswa Khazanah, layari www.yayasankhazanah.com.my

 

  • Biasiswa Khazanah Global (Pengajian A-Level)  

    Menyokong pengajian A-Level sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda merentasi pelbagai bidang di 50 Universiti Terbaik Dunia*. 

    *Berdasarkan Kedudukan Universiti Dunia QS

 

  • Biasiswa Khazanah Watan (Pengajian Asasi) 

    Menyokong pengajian asas merentasi pelbagai bidang di universiti tempatan terpilih.  

 

  • Biasiswa Wakalah PayNet-Yayasan Khazanah (Pengajian Asasi) 

    Biasiswa untuk menyokong pelajar B40 Muslim Malaysia (lepasan SPM/IGCSE) dalam pengajian sarjana muda (Asasi dan Ijazah) dalam bidang Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Kewangan dan kursus lain yang berkaitan di universiti tempatan terpilih. - DagangNews.com