BigPay capai RM1 bilion untuk kiriman wang antarabangsa | DagangNews Skip to main content

BigPay capai RM1 bilion untuk kiriman wang antarabangsa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - BigPay telah memperoleh pencapaian baharu untuk ciri kiriman wang antarabangsanya dengan mencapai RM1 bilion dalam nilai transaksi kasar (GTV). 

 

Pada masa ini, BigPay menyediakan sejumlah 45 koridor termasuk penambahan terbarunya di Ireland Utara, Scotland dan Wales di United Kingdom (UK), dan 34 negara di Eropah, termasuk Perancis, Jerman, Itali, Belgium dan Sepanyol.

 

Terbaharu, BigPay telah merekodkan pertumbuhan 41% dalam kiriman wang antarabangsa pada Oktober 2022, berbanding Januari 2022. 

 

Koridor teratas yang menyaksikan jumlah kiriman wang keluar tertinggi dari Malaysia termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, India dan China. 

 

Penambahan terbaharu pada koridor pengiriman wangnya di seluruh UK dan Kesatuan Eropah (EU) telah menyaksikan pertumbuhan 113% bulan ke bulan sejak dilancarkan pada Ogos 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, keupayaan untuk memindahkan wang secara global untuk pelanggan dengan cara yang cepat dan kos efektif telah menjadi faktor kritikal dalam cara mereka membangunkan produk kiriman wang.

 

“Kami telah terus mengembangkan koridor yang kami sediakan dan akan terus meningkatkan produk secara keseluruhan. Kami berterima kasih atas sokongan daripada semua pelanggan kami yang telah membantu kami mencapai kejayaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada masa ini, BigPay membolehkan pengguna menghantar wang secara terus tanpa bayaran tersembunyi ke akaun bank di, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, China, Vietnam, India, Bangladesh, Nepal, Australia, England, Ireland Utara, Scotland, Wales, UK dan 34 negara di Eropah, termasuk Perancis, Jerman, Itali, Belgium dan Sepanyol.

 

Sejak penubuhannya pada 2017, memacu kesejahteraan kewangan dan kebolehcapaian telah menjadi visi dan misi teras BigPay. 

 

Selain membantu lebih 3 juta pengguna meningkatkan kesihatan kewangan mereka, syarikat itu berusaha untuk mengembangkan perkhidmatannya dan memperkenalkan lebih banyak produk kewangan di seluruh rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com