BigPay lancar perkhidmatan kiriman wang ke-38 negara di Eropah | DagangNews Skip to main content

BigPay lancar perkhidmatan kiriman wang ke-38 negara di Eropah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Syarikat fintech Asia Tenggara, BigPay berjaya menambah 38 negara baharu dalam senarai perkhidmatan kiriman wang antarabangsanya.

 

Antara negara yang terlibat termasuk England, Ireland Utara, Scotland dan Wales selain 34 negara di Eropah merangkumi Perancis, Jerman, Itali, Belgium dan Sepanyol.

 

Perkhidmatan dengan tawaran kos rendah, telus dan mudah untuk pindahan wang ke luar negara melalui aplikasi mudah alihnya merupakan asas kepada strategi rangkuman kewangan BigPay.

 

Penambahan United Kingdom dan negara-negara  Eropah di bawah ciri kiriman wangnya memainkan peranan penting dalam mendemokrasikan pergerakan wang merentasi rantau yang serba baharu.

 

Buat masa sekarang, Big Pay membolehkan pengguna mengirimkan wang secara terus tanpa caj terselindung kepada akaun bank di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, China, Vietnam, India, Bangladesh, Nepal dan Australia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Slaim Dhanani berkata, BigPay memanfaatkan teknologi untuk mengurangkan kos dan kerumitan penghantaran wang ke luar negara dengan efisyen bagi memudahkan pelanggan.

 

bigpay

 

"Kami memastikan ia berpatutan, mudah dan telus untuk pengguna memindahkan wang ke luar negara - sama ada untuk menghantar wang kepada orang tersayang, yuran pengajian dan pembelian di luar negara.

 

"BigPay akan terus mengembangkan perkhidmatan pengiriman wang atau pindahan masuk daripada mana-mana negara di seluruh dunia dengan kadar pertukaran terbaik," katanya.

 

Bagi pindahan bank antarabangsa ke United Kingdom dan 34 negara di Eropah melalui aplikasi BigPay, pengirim hanya perlu memilih jumlah yang akan dihantar, pilih negara dan masukkan butiran bank penerima.

 

BigPay kini menawarkan pemindahan antarabangsa percuma untuk masa yang terhad hanya ke Eropah dan United Kingdom. - DagangNews.com