KUALA LUMPUR 8 Okt. - Penyedia perkhidmatan kad prabayar, BigPay membuat penurunan had tambah nilai melalui kad kreditnya kepada RM1,000 untuk tempoh sebulan.
BigPay dalam pemaklumannya kepada pengguna memberitahu, pengurangan jumlah tambah nilai itu berkuat kuasa 8 Oktober 2020.
"Kami terpaksa melakukan pengurangan had ini untuk memastikan kos yang rendah agar lebih banyak penjimatan boleh diberikan kepada pengguna.
"Ini kerana syarikat kad kredit mengenakan caj yang tinggi dan Big Pay terpaksa menyerap kos berkenaan untuk memberi lebih pilihan tambah nilai kepada pengguna," jelas BigPay seperti dilapor SoyaCincau hari ini.
Penurunan had tambah nilai yang diumumkan itu adalah penurunan kali ketiga bagi tahun 2020.
Had tambah nilai kad kredit pada asalnya berjumlah RM10,000 sebelum diturunkan kepada RM5,000 pada Mac.
Bagaimanapun, had tersebut diturunkan lagi kepada RM2,500 pada Jun dan akhirnya kepada RM1,000 pada hari ini.
Tambah BigPay lagi, proses tambah nilai tanpa had masih boleh dibuat melalui kad debit atau perbankan secara dalam talian.
Pihaknya juga akan berusaha untuk memperkenalkan kaedah tambah nilai yang baharu dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi meningkatkan pilihan tambah nilai pengguna.
"Kami juga akan terus membuat perubahan bagi memastikan keadilan untuk semua pelanggan kami bagi menggunakan produk dan perkhidmatan asas kami pada harga yang rendah atau tanpa bayaran yuran," tambah BigPay. - DagangNews.com