Bila OPV 1 hendak diserahkan kepada APMM, apa pula nasib OPV 2 dan OPV 3? | DagangNews Skip to main content

Bila OPV 1 hendak diserahkan kepada APMM, apa pula nasib OPV 2 dan OPV 3?

Kapal OPV 1 semasa belum dipasang meriam.
Fokus Berita oleh Zaki Salleh

FASA akhir pembinaan kapal ronda pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hampir lengkap apabila meriam utamanya telah dipasang.

 

OPV 1 dilengkapi dengan selaras meriam kaliber 30mm Smash Aselsan buatan Turkiye iaitu jenis meriam sama yang dipasang pada enam buah kapal peronda APMM kelas Bagan Datuk.

 

Persenjataan lain pada OPV 1 ini ialah mesingan yang dipasang pada kiri dan kanan kapal.

 

Status ini dilihat menerusi beberapa foto yang tersiar dalam media sosial dipercayai oleh petugas di limbungan perkapalan tersebut.

 

Bagaimana pun, tiada sebarang maklumat rasmi berhubung status fasa pembinaan OPV 1 dengan nombor pennant 8305 ini yang masih belum diberikan nama lagi.

 

Kapal
OPV 1 yang telah dipasang dengan meriam utama.

 

Disebabkan kelewatan menerima meriam utama ini dari Turkiye serta bot dikatakan punca mengapa OPV 1 tidak dapat diserahkan pada Mac lalu.

 

Lanjutan itu, tarikh penyerahan ditunda lagi kepada 24 Julai tetapi juga gagal dilakukan kerana ketika itu meriam utama ini masih lagi belum dipasang.

 

Sehingga saat ini belum kedengaran lagi sama ada daripada pihak syarikat pembinanya atau Kementerian Dalam Negeri tentang bilakah tarikh sebenar OPV 1 ini hendak diserahkan kepada APMM.

 

Ada maklumat tidak rasmi yang membayangkan OPV 1 akan diserahkan pada bulan November depan iaitu setelah selesai segala proses pengujian.

 

Cuma, berdasarkan kelewatan-kelewatan sebelum ini maka sukar untuk menerima tarikh baharu penyerahan OPV 1 kerana kemungkinan penangguhan boleh terjadi lagi.

 

Kapal
APMM mengoperasikan kapal-kapal peronda lama berusia lebih 30 tahun untuk mengawasi perairan negara.

 

Banyak persoalan timbul mengenai OPV 1 termasuk apa ujian yang telah dilakukan sama ada di pelabuhan atau laut kerana sehingga kini tiada sebarang kenyataan tentang itu atau gambar-gambar latihan dikongsikan.

 

Tidak seperti kebanyakan perolehan kelengkapan keselamatan, pihak bakal pengguna misalnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berminat untuk berkongsi gambar-gambar semasa latihan aset kepada umum.

 

Ini kerana perolehan tersebut yang dibuat menggunakan wang negara, maka seharusnya sebarang perkara yang boleh dikongsi wajar dikongsikan bersama.

 

Misalnya semasa projek kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 18 tahun lalu, pihak TLDM berkongsi gambar-gambar latihan kru di Perancis untuk menunjukkan kepada umum perkembangan di sana.

 

Ini adalah perolehan bernilai berbilion ringgit, tambahan pula kapal selam adalah aset canggih.

 

Kapal
Kapal APMM, KM Bagan Datuk semasa melakukan rondaan bersama TLDM.

 

Tambahan pula, OPV 1 bukanlah sebuah kapal peronda yang berteknologi tinggi atau kompleks berbanding kapal perang TLDM yang kita faham mempunyai peralatan sensitif.

 

Sepertimana diketahui umum, projek OPV 1 telah diambil alih oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) daripada TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

 

MOF terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

 

KDN pula sebagai kementerian yang menaungi APMM iaitu pasukan keselamatan yang bakal mengoperasikan kapal tersebut sudah pasti menantikan aset ini.

 

Mengikut kontrak asal, projek OPV APMM ini sepatutnya siap pada tahun 2020 iaitu tiga tahun lepas.

 

Kapal
Tempoh enam tahun untuk menyiapkan pembinaan OPV 1 menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada umum.

 

THHE pada 13 September lepas dilaporkan sedang melakukan penggulungan secara sukarela setelah setahun dinyahsenarai daripada Bursa Saham Malaysia.

 

Syarikat itu memutuskan untuk melaksanakan penggulungan secara sukarela kerana ia tidak dapat meneruskan operasinya kerana liabiliti.

 

OPV 1 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dibina berasaskan rekaan kapal kelas Damen 1800 berkeupaya melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

 

Ia sesuai untuk beroperasi lebih lama sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan di luar jangkauan kapal kecil sepertimana yang diinginkan oleh APMM.

 

Sebagai perbandingan, negara jiran Vietnam memilih OPV Damen DN2000 yang dibina secara kerjasama antara firma Damen dengan limbungan tempatan, Song Thu Group di Sandang, Vietnam pada tahun 2014.

 

Opv
Satu daripada OPV DN2000 milik Vietnam yang dibina oleh firma Damen dengan syarikat tempatan negara itu.

 

DN2000 mempunyai rekabentuk hampir sama dengan Damen 1800 APMM tetapi saiznya lebih besar.

 

Kapal pertama dilancarkan pada November 2015 iaitu dua tahun lebih awal berbanding OPV 1 APMM.

 

Kedua-dua kapal siap dibina mengikut jadual dan telah pun beroperasi membelah laut Vietnam bagi mengawasi wilayah maritim negara jiran itu.

 

Dukacita bagi APMM pula apabila setelah enam tahun daripada tempoh mula pembinaan, kapal OPV 1 masih belum diterima manakala dua lagi kapal iaitu OPV 2 dan OPV 3 pula entah bila. - DagangNews.com