Bila tidak minat sambung belajar, adakah masyarakat perlukan universiti? | DagangNews Skip to main content

Bila tidak minat sambung belajar, adakah masyarakat perlukan universiti?

Universiti perlukan masyarakat kerana masyarakat akan menyumbang kepada pembangunan sosial. - Gambar hiasan : Unsplash/Muhammad Faiz Zulkeflee
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

DI MANAKAH anak-anak remaja yang tidak berjaya masuk atau mahu ke universiti? Boleh dikatakan, waktu membahaskan isu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu ke universiti sebagai mahasiswa dan universiti, ramai terlupa mengenai masyarakat. 

 

Remaja yang tidak memasuki universiti masih meneruskan kehidupan seperti biasa menanti hari tua. Mereka menghabiskan usia di pusat latihan industri, institut latihan kemahiran, menjadi pekerja bengkel, pekerja e-hailing dan ekonomi gig. 

 

Ada pula menjadi nelayan, petani, bekerja di kedai orang, usahawan dan bisnes sendiri. Ramai menjadi pemandu lori, bekerja dengan majlis perbandaran menjadi pemotong rumput dan pembersih kawasan kalau bukan pendatang.

 

Kelompok masyarakat tidak ke universiti merupakan golongan masyarakat yang lebih besar. Semua tetap membayar cukai pendapatan, cukai pintu, cukai itu ini dan membayar tol. Boleh dikatakan berfungsi sama seperti masyarakat yang lain tanpa sebarang rungutan.

 

Golongan masyarakat tahu sebahagian besar wang negara ditaburkan kepada remaja di universiti untuk membina perpustakaan dan memastikan menyalin nota kuliah di dalam bilik dengan penghawa dingin yang disediakan.

 

Remaja tidak perlukan berfikir seperti mahasiswa untuk menguruskan wang di dalam bank dan tidak perlukan pensyarah dengan segala pangkat di hadapan nama untuk membantu membeli barang keperluan seharian. Apalagi tidak perlukan universiti untuk membantu keluarga cukup makan dan minum saban hari kehidupan.       

 

Kita mendengar, lebih kurang 390,000 atau 72.1% lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Daripada data kajian pada 2019, daripada 560,000 calon SPM cuma 170,000 memilih menyambung pengajian sementara bakinya mahu memasuki pasaran kerja. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Pengaruh media sosial

 


Difahamkan ada 3 faktor utama yang menyebabkan mereka tidak minat menyambung pelajaran ke universiti. Dengan banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, apalagi terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dengan beranggapan belajar universiti bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik untuk maju ke depan.

 

Trend ini berterusan pada 2020 dan 2021 sejak 2019 dengan ramai yang berhenti untuk bekerja. Banyak pekerjaan baharu yang ditawarkan pada masa ini melalui platform gig seperti perkhidmatan e-hailing, penghantar makanan melalui pelbagai aplikasi dalam talian. Selain pelbagai kerja sambilan lain yang mendorong untuk mendapat duit poket.

 

Perkembangan yang merisaukan ini memberi kesan kepada masa depan dan menimbulkan krisis. Difahamkan pekerjaan menerusi ekonomi gig kalau dibuat secara berterusan boleh memberikan pendapatan setanding dengan pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik lebih tinggi pada usia masih muda.

 

Untuk jangka panjang prospek kerjaya sukar dipertahankan kerana tenaga kerja baharu yang sentiasa tersedia dan bila-bila boleh diganti.

 

Ramai remaja terikut-ikut untuk menjadi penyedia kandungan iaitu pempengaruh media sosial yang disangka boleh memberi kesenangan dengan segera. 

 

Hakikatnya tidak begitu enteng kerana yang mencapai kemewahan melalui cara tersebut biasanya hanya sedikit berbanding keseluruhan pengguna media sosial.

 

Selain pencapaian akademik dan kemahiran pihak majikan menitikberatkan aspek-aspek keupayaan keperibadian yang tinggi.

 

gambar hiasan

 


Cabaran cari kerja


Proses pencarian pekerjaan selepas belajar adalah sesuatu yang mencabar dan memakan masa. Selain jenis pekerjaan yang ditawarkan, terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan.

 

Contohnya, faktor lokasi tempat kerja, pengangkutan dan prospek kerjaya perlu diambil kira dengan sebaiknya. Remaja dinasihatkan sentiasa berusaha dan tidak cepat kecewa kerana kerja sesuai selalunya memakan waktu.

 

Secara natural lepasan SPM digalakkan agar menyambung pengajian bagi menaikkan tahap kelayakan akademik dan kemahiran. 

 

Ini membolehkan mereka memohon untuk mendapatkan pekerjaan dalam industri yang lebih fokus dengan menggunakan akal, pendidikan dan kemahiran yang sedia ada.

 

Mereka perlu meningkatkan keupayaan keperibadian terutama integriti, profesional,  kepimpinan, kebolehsuaian, keyakinan diri, bertanggungjawab dan amanah dengan tugasan.

 

Majikan melihat keupayaan keperibadian sama pentingnya dengan kelayakan akademik apa lagi kemahiran. Kita dituntut sebagai muslim untuk meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada fardu ain atau fardu kifayah dalam kehidupan.

 

Biarpun lepasan SPM yang mungkin lebih selesa untuk terus bekerja dengan peluang mendapatkan pekerjaan khususnya dalam perkhidmatan e-hailing, namun tidak mampu menjanjikan masa depan yang lebih baik.

 

Dengan mempunyai pendidikan akan lebih positif, ia mampu membantu dalam mendepani kehidupan yang sementara.

 

Namun, para nelayan meneruskan hidup seperti biasa dengan meneruskan rutin keluar seawal 5.30 pagi untuk menangkap ikan. Ada petani menghiris ubi gadong untuk ditebar ke dalam sawah serta air parit sawah. 

 

Di bandar ada sedang bersiap-siap untuk merempit ke tempat kerjanya di sebuah kedai membaiki motosikal. Lewat petang mat rempit akan pulang selepas menyelesaikan kerjanya sebagai mekanik setelah 10 jam bekerja.

 

 

gambar hiasan

 

 

Mahasiswa harapan bangsa

 

Situasi yang sangat kontra kerana remaja sebagai mahasiswa diingatkan, masyarakat dan negara memerlukan mahasiswa kerana menjadi harapan bangsa dan agama.

 

Tetapi kalau ditanya orang tua yang pencen apakah peduli kalau universiti menghasilkan 1,000 kertas kajian atau 1,000,000 jurnal, pasti mereka tidak peduli.

 

Kerana itulah, tiada orang peduli kalau universiti berlumba-lumba untuk ranking global. Menduduki tempat dalam senarai universiti dalam pelbagai bidang. 

 

Tiada orang peduli pun apa universiti hendak buat dan telah buat. Pada ramai ibu bapa universiti hanyalah tempat anak-anak mereka sambung belajar untuk mendapatkan ijazah.

 

Sebenarnya mahasiswa yang memerlukan masyarakat kerana duit belanja, tandas, longkang, kafetaria, tempat tidur dan bermain yang digunakan saban hari datangnya dari wang cukai rakyat. Ada kerangka lebih besar yang perlu mahasiswa fahami dan sedari dengan lebih mendalam. 

 

Dunia sedang bergerak pantas dan cepat dengan tahun semakin muncul. Kebanyakan rakyat  memandu Honda atau Toyota, memakai gajet Vivo, memasang penghawa dingin Daikin, membasuh baju dengan mesin basuh Sharp dan menonton dengan set televisyen Samsung.

 

Malaysia perlukan lebih banyak teknologi dihasilkan oleh graduan universiti untuk mengimbangi pasaran dunia, sistem ekonomi yang lebih mesra rakyat untuk menyelesaikan masalah jurang antara kaum, lebih ramai pakar untuk bersama rakyat menyeimbangkan ketidakseimbangan politik yang berlaku.

 

Ahli akademik perlu segera keluar  dan memastikan negara setanding dengan China, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan. 

 

Dengan pemain utama teknologi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Terus memastikan sistem ekonomi yang lebih mapan untuk dikongsi secara bersama oleh rakyat. 

 

Inilah fungsi utama universiti, menghasilkan penyelidik dalam kalangan pensyarah seterusnya menghasilkan graduan yang akan keluar menjadi pemain utama industri, bukannya pengguna utama industri negara lain. Kalau boleh setanding dan mampu menjadi seperti Korea Selatan atau Jepun. 

 

Remaja kita mungkin sedang bermain gajet jenama sendiri yang boleh menyuntik dana yang besar bagi membangunkan masyarakat dengan lebih efisien dan efektif. 

 

Namun, lebih baik jika bukan mahasiswa atau universiti yang melakukannya kerana orang tidak perlukan universiti mahupun mahasiswa untuk terus hidup.

 

Mahasiswa dan universiti yang perlukan masyarakat untuk berkhidmat dalam juzuk sosial yang perlu ada. Universiti perlukan masyarakat kerana masyarakat akan menyumbang kepada pembangunan sosial. 

 

Universiti perlu membuktikan segala macam teori yang berada di dalam jurnal boleh dilaksanakan di dalam dunia yang nyata ini.

 

Oleh itu, sama ada melanjutkan pengajian di universiti atau terus bekerja selepas SPM bukan satu masalah kerana dunia terus berpusing 24 jam. Dan adakah masyarakat memerlukan universiti? - DagangNews.com

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi kolum WAINUOIMATA setiap Khamis